DAP bertembung dengan PKR di lima kerusi
KUCHING, Isnin – Dua parti di bawah Pakatan Harapan, DAP dan PKR dilihat seolah-olah gagal membawa aspirasi kesepakatannya apabila bertelagah sesama sendiri ketika bertembung lima kerusi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11.
Kedua-dua parti pembangkang itu dilaporkan akan bertemu antara satu sama lain di sekurang-kurangnya lima kerusi – Mulu, Mambong, Ngemah, Simanggang dan Murum.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng nyata kecewa dengan keputusan PKR itu dan menyifatkan bahawa situasi berkenaan hanya akan mengelirukan rakyat.
Malah, katanya, ia mungkin memberi isyarat yang salah kepada pengundi menjelang hari pengundian pada 7 Mei.
“Jika satu kerusi, kita boleh faham. Kita boleh cuba untuk ketepikannya tetapi ini sampai lima kerusi, bagaimana kita boleh ketepikannya?
“Kami rasa bahawa DAP telah ditipu,” katanya, ketika di luar pusat penamaan calon Senadin di Miri, hari ini.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali, hari ini telah mengesahkan bahawa beliau memberi kuasa kepada PKR Sarawak untuk menurunkan calon parti berkenaan di lima kerusi yang menjadi perbalahan dengan DAP.
Susulan itu, DAP pula meletakkan calonnya, Abdul Aziz Isa di Batu Kitang.
“PKR langgar perjanjian, jadi kami tidak mempunyai pilihan tetapi untuk bertanding di Batu Kitang,” kata Abdul Aziz.
“Kajian Merdeka Center menunjukkan DAP mendapat lebih sokongan berbanding PKR jika kita bertanding di Batu Kitang tetapi dalam semangat Pakatan Harapan, kita memberi laluan kepada PKR untuk bertanding di kerusi boleh menang ini,” katanya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan