Derma organ suatu sedekah jariyah, bukan haram
Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
SERDANG, Sabtu – Membuat keputusan untuk menderma organ diakui bukan sesuatu perkara yang mudah, tetapi ianya suatu mujahadah.
Pensyarah Pusat Pengajian Syariah Fakulti Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA), Prof Madya Dr Basri Ibrahim, berkata mereka yang berjaya melepasi keraguan untuk menderma organ akan memperoleh ganjaran pahala yang besar.
“Orang yang derma organ, dia telah menderma sesuatu yang penting dalam hidup dia. Pahala bagi perbuatan ini, di dunia kita tidak nampak, tetapi di akhirat sana nanti kita akan tahu.
“Ia dikira sebagai sedekah jariyyah, bukan sedekah yang biasa-biasa lagi,” katanya pada Konvensyen Kesihatan Neuro & Fiqh Perubatan Nasional 2016 di Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.
Tetapi malangnya, masih ramai mempunyai persepsi yang salah mengenai pemindahan organ ini dan mengganggap ia sesuatu yang haram.
“Zaman dulu, ulama kata haram sebab mereka tiada kepakaran. Kalau ulama nak keluarkan fatwa dia kena rujuk kepada pakar.
“Tetapi, sekarang sudah berbeza. Kita sudah ada kepakaran dalam transplan organ ini dan maka dengan itu hukumnya berubah menjadi harus. Kita ikut keadaan semasa itu.
“Lainlah kalau ada pakar yang berjaya buat penemuan, dengan daun pisang pun boleh ubat pesakit yang perlukan organ yang baru. Maka, haramlah guna manusia masa tu sebab boleh guna daun pisang,” selorohnya.
Hukum pemindahan organ telah diputuskan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 23 dan 24 Jun 1970.
Pemindahan mata dan jantung orang mati kepada orang yang hidup adalah dibenarkan Islam dengan kebenaran pemiliknya.
Turut hadir Presiden Ikatan Pengamal Perubatan & Kesihatan Muslim Malaysia (i-Medik), Prof Dr Azmi Md Nor, Naib Presiden 2, Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar dan Setiausaha Agung, Prof Dr Azizi Ayob.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan