Firma milik Abu Dhabi nafi terima AS$3.5 bilion dari 1MDB

photo_2016-04-12_21-22-26

BANGI, Selasa – Syarikat negara milik kerajaan Abu Dhabi dalam kenyataan kepada Bursa Saham London, semalam menyatakan mereka tidak pernah menerima berbilion ringgit daripada syarikat pelaburan kontroversi dari Malaysia, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sebagaimana didakwa.

International Petroleum Investment Co (IPIC) dalam kenyataan itu berkata, mereka mengambil perhatian terhadap laporan media yang mengatakan 1MDB telah menyerahkan berbilion ringgit kepada syarikat yang dikenali sebagai ‘Aabar Investment PJS Ltd’.

IPIC mengakui mempunyai anak syarikat yang bernama Aabar Investments PJS, tetapi Aabar Investment PJS Ltd bukan salah  satu daripada entiti kumpulan IPIC.

Bayaran oleh 1MDB dibuat di bawah syarat-syarat di dalam perjanjian dengan IPIC pada 2012. Di dalam Perjanjian itu, IPIC  memberi jaminan bon 1MDB bernilai AS$3.5 bilion dan sebagai pulangannya, 1MDB mesti membuat cagaran dan  bayaran lain kepada anak syarikat IPIC, Aabar.

Akhbar kewangan, The Wall Street Journal, (WSJ) memetik pihak yang biasa dengan penipuan dokumen pemindahan bank sebelum ini mendakwa 1MDB telah menyerahkan AS$2.4 bilion kepada syarikat palsu Aabar, yang didaftarkan di British Virgin Islands dan kemudiannya ditutup.

Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai siasatan terhadap 1MDB dan dibentangkan di Parlimen menyatakan jumlah wang yang dipindahkan kepada ‘Aabar’ ialah AS$3.5 bilion.

WSJ juga mendakwa AS$681 juta daripada jumlah itu masuk ke akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melalui cara yang berbelit-belit. Bagaimanapun, Najib menafikan terbabit dalam salah laku dan mengambil wang itu untuk tujuan peribadi.

Laporan WSJ juga mendedahkan bagaimana ‘Aabar palsu’ ditubuhkan oleh dua eksekutif Aabar, Khadem Al Qubaisi iaitu bekas pengerusinya dan bekas pegawai eksekutifnya, Mohamed Badawy Al Husseiny.

Kedua-dua lelaki itu telah dipecat tahun lalu, Pihak berkuasa Emiriah Arab Bersatu, telah membekukan semua aset kedua-duanya dan melarang mereka daripada meninggalkan negara itu.

1MDB sebelum ini menolak laporan WSJ mengenai ‘Aabar palsu’ dan menyifatkannya sebagai kempen untuk memburuk-burukkan 1MDB dan mengatakan WSJ berpakat dengan pihak yang ada kepentingan politik di Malaysia.

Namun semalam, sebagai membalas kenyataan IPIC, 1MDB mengakui menyerahkan sejumlah wang yang banyak kepada ‘Aabar palsu’ di British Virgin Islands dan mendakwa ia adalah bayaran bagi memenuhi pelbagai perjanjian undang-undang dengan Al Qubaisi and Al Husseiny.

“Oleh itu, adalah mengejutkan apabila IPIC atau Aabar tidak mempunyai pengetahuan, dan tidak juga mendapat manfaat daripada bayaran yang dibuat oleh 1MDB kepada Aabar (British Kepulauan Virgin),” kata kenyataan 1MDB.

Pertikaian antara 1MDB dan IPIC mengenai bayaran itu nampaknya merumitkan perjanjian penyusunan semula hutang antara kedua-dua pihak.

Mengikut syarat perjanjian itu, IPIC mengambil alih kepentingan dan bayaran ke atas bon 1MDB bernilai AS$3.5 bilion. IPIC juga membuat bayaran AS$1 bilion kepada 1MDB tahun lalu bagi membantu membayar hutang 1MDB dan sebagai balasannya, 1MDB mesti memindahkan aset yang sama nilai kepada IPIC sebelum Jun ini.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?