Hikmah Deklarasi Rakyat ibarat penentangan terhadap Malayan Union: Tun M

tun-mm

BANGI, Khamis – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, usul undi tidak percaya terhadap Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat tidak mungkin dapat dilakukan kerana wakil rakyat Barisan Nasional (BN) telah ‘mengikat diri’ dengan Perdana Menteri.

Katanya, pengakuan Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Samad dan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan yang menerima wang daripada Najib juga menunjukkan mereka sudah mengikat diri untuk tidak menandatangani deklarasi menentang Najib.

Beliau berkata, kenyataan oleh adik Najib iaitu Datuk Nazir Razak bahawa beliau telah diberi wang sebanyak AS$7 juta untuk diagih kepada pemimpin BN, mengesahkan sogokan oleh Najib.

“Oleh itu untuk menjayakan usul tidak percaya kepada Najib (di Dewan Rakyat) tidak mungkin dilakukan,” katanya menerusi tulisan terbaru beliau dalam chedet.cc berjudul ‘ Kenapa deklarasi kenapa tidak undi tak percaya’ yang dimuat naik, malam tadi.

Bekas Perdana Menteri itu turut mengakui percubaan telah dibuat untuk mengenal pasti 24 wakil rakyat BN yang dilihat tidak mengutamakan diri sendiri, bertanggungjawab dan prihatin terhadap negara yang sanggup bersama pembangkang untuk menyokong undi tidak percaya terhadap Najib.

“Percubaan ini gagal kerana walaupun mereka (wakil rakyat BN itu) sedar akan kesalahan Najib, tetapi kerana kepentingan diri, kerana takut tindakan seperti yang dilakukan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal, takut juga kepada lain-lain tindakan oleh Najib, tidak ada yang sanggup menandatangani pengakuan menyingkir Najib. Oleh itu undi tidak percaya tidak boleh dibuat,” katanya.

Tun Dr Mahathir berkata, penyingkiran Perdana Menteri boleh dibuat jika ada bukti beliau tidak mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen walaupun tidak ada usul dikemukakan di Dewan Rakyat.

Katanya, jika majoriti Ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang mengemuka pengakuan secara tertulis, ditandatangani dan bersaksi, bahawa mereka tidak lagi percaya kepada Najib, maka Yang di-Pertuan Agong boleh menyingkir Najib, sama seperti yang Najib lakukan di Perak pada 2009 dan di Kedah baru-baru ini.

“Tetapi, seperti kita semua maklum wakil rakyat BN yang menjadi majoriti dalam dewan sudah mengikat diri dengan Najib untuk tidak menandatangani sebarang deklarasi yang tidak menyokong Najib,” katanya.

Mengulas kepentingan Deklarasi Rakyat, Tun Dr Mahathir mengimbas kembali sejarah Malayan Union apabila raja-raja dipaksa oleh British untuk menandatangani perjanjian menyerah negeri-negeri Melayu kepada mereka.

“Rakyat bangun dan mendesak Raja-Raja supaya tidak menghadiri dan mengiktiraf pelantikan Gabenor bagi Malayan Union. Raja-Raja pun tidak hadir. British terpaksa batal rancangan Malayan Union mereka dan menubuh Federation of Malaya pada 1948.

“Dari peristiwa ini kita boleh buat kesimpulan bahawa suara rakyat ada hikmatnya. Itulah sebab deklarasi rakyat penting,” katanya.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?