Hukuman penjara kanak-kanak Palestin kekal setahun
JERUSALEM, Khamis – Pihak berkuasa Israel mengekalkan penahanan selama setahun terhadap kanak-kanak Palestin, Ali Alqam, 12 yang ditahan sejak November tahun lalu.
Menurut sumber, Ali Alqam ditahan setelah didakwa menyerang seorang pengawal keselamatan bersama sepupunya tahun lalu.
Ali Alqam ditahan 10 November di sebuah stesen kereta api di penempatan haram Israel, Pisgat Zeev selepas dia dan sepupunya, Muawiyah menikam seorang pengawal keselamatan.
Ketika kejadian, Ali ditembak sekurang-kurangnya tiga das dan terpaksa menjalani pembedahan untuk mengeluarkan peluru dari perutnya.
November tahun lalu, Muawiya juga telah didakwa atas tuduhan cubaan membunuh dan memiliki pisau.
Bapa saudara Ali, Sheikh Abdullah Alqam berkata, hakim memutuskan hukuman penjara setahun terhadap anak saudaranya itu selepas perbicaraan di sebuah mahkamah Majistret Israel, baru-baru ini.
Hakim memerintahkan Ali dipindahkan daripada Acre ke Ein Naqquba di barat Jerusalem.
Menurut Alqam, peguam Ali telah mengemukakan beberapa permintaan kepada mahkamah untuk menimbang semula penahanan terhadap kanak-kanak itu.
Bagaimanapun, hakim tetap memutuskan hukuman tahanan selama setahun atas alasan Ali masih memerlukan rawatan psikoterapi walaupun hakikatnya ibu bapa kanak-kanak itu boleh melakukannya.
Pertubuhan hak-hak banduan Addameer melaporkan, seramai 406 daripada 7,000 rakyat Palestin yang kini ditahan di penjara Israel adalah kanak-kanak di bawah umur.
Menurut laporan itu, dianggarkan kira-kira 108 daripada kanak-kanak itu berumur di bawah 16 tahun.
Tindakan Israel menahan kanak-kanak Palestin dan menempatkan mereka di penjara dewasa dikritik kerana melanggar Konvesyen Antarabangsa terhadap Hak Kanak-kanak.
Konvesyen itu menyatakan bahawa, penangkapan, penahanan atau pemenjaraan kanak-kanak hendaklah dibuat selaras dengan undang-undang dan hendaklah digunakan hanya sebagai langkah terakhir dan untuk tempoh yang sesuai dalam masa yang singkat.- Agensi
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan