ISMA Melaka sokong program Dr Zakir Naik diteruskan

Picture1

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, Selasa – Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Melaka menyambut baik kenyataan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ir Hj Idris Haron yang menyokong program pendakwah Islam antarabangsa, Dr Zakir Naik diadakan di negeri itu.

Yang Di Pertuanya, Ustaz Ir Hj Mohd Khoushaini Mohd Naim berkata, Dr Zakir merupakan seorang tokoh yang disegani kepakarannya dalam ilmu perbandingan agama di peringkat antarabangsa dan ceramahnya akan memberi kebaikan menyeluruh kepada orang Islam dan bukan Islam.

“Apa yang berlaku adalah salah faham dan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dalam melakukan provokasi perkauman dan agama.

“Ini bukan kali pertama kunjungan Dr Zakir ke Malaysia, malah beliau pernah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah oleh Yang Dipertuan Agong,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pagi tadi, Ketua Menteri Melaka telah mengeluarkan kenyataan menyokong kehadiran Dr Zakir ke negeri itu dan menepis salah faham tentang pembatalan program penceramah itu yang ditujukan kepadanya.

Ustaz Khoushaini menyeru semua pihak yang telah melakukan fitnah terhadap penceramah itu agar segera meminta maaf secara terbuka.

Dalam masa yang sama, beliau turut berharap agar kerajaan negeri dan gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di negeri itu dapat turut sama menjayakan program berkenaan.

“Kita mengharapkan budaya dialog dan percambahan minda berlangsung secara sihat dan rakyat diberikan kebebasan untuk melakukan perbincangan dalam budaya keilmuan yang tinggi.

“Kita juga memohon Kerajaan Negeri dan Gabungan NGO Islam Negeri Melaka dapat bersama dalam menjayakan penganjuran program kali ini yang dilihat memberi manfaat besar dan imej Islam di negeri ini,” katanya.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?