Israel haram kemasukan jaket kalis peluru untuk wartawan
BANDAR GAZA, Rabu – Jawatankuasa Tempatan untuk wartawan Palestin di Gaza berkata, rejim Zionis Israel telah mengharamkan kemasukan jaket kalis peluru ke Semenanjung Gaza untuk kegunaan wartawan.
“Kumpulan Arab dan antarabangsa telah berkali-kali cuba untuk membawa jaket kalis pelurus dan topi keledar ke Semenanjung Gaza untuk memberikan persekitaran yang lebih selamat dan profesional untuk wartawan, tetapi pihak berkuasa Israel sentiasa menghalang proses ini,” kata Jawatankuasa itu semalam.
Mereka menggesa Israel untuk bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang bencana yang mungkin menimpa beratus-ratus wartawan yang melaporkan dari Semenanjung Gaza.
“Tanpa jaket kalis peluru untuk melindungi mereka daripada tembakan dan peluru berpandu yang dilancarkan oleh tentera Israel semasa bertempur dengan rakyat Palestin,” katanya.
Menurut kenyataan yang sama, beberapa wartawan telah cedera di kawasan itu kerana tidak memakai jaket kalis peluru.
Sehubungan itu Jawatankuasa tersebut menggesa Persekutuan Wartawan Antarabangsa, UNESCO, Wartawan tanpa Sempadan dan organisasi lain untuk memberi tekanan kepada Israel bagi mematuhi konvensyen antarabangsa dan bukan menutup mata dengan undang-undang antarabangsa dan nilai-nilai kemanusiaan.
Mengulas mengenai permintaan itu, Jurucakap bagi Penyelaras Israel untuk Aktiviti Kerajaan di Wilayah-wilayah (COGAT) berkata, jaket kalis peluru memerlukan pemeriksaan daripada pertubuhan keselamatan untuk membawanya masuk.
“Apabila kami menerima permintaan untuk membawa masuk jaket kalis peluru, kami akan memeriksanya dengan protokol keselamatan,” katanya.
Sabtu lalu, Jawatankuasa Penyokong Wartawan Palestin berkata Israel telah menahan 43 wartawan di wilayah Palestin yag diduduki sejak Oktober 2015, termasuk dua wartawan asing.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Mac, kumpulan kebebasan media Palestin, MADA berkata mereka sangat mengambil berat dengan resolusi terbaru Israel yang mensasarkan media Palestin.
Pemerhati turut memberikan laporan bulan lepas menunjukkan bahawa tahun 2015 telah menyaksikan peningkatan keganasan Israel terhadap wartawan Palestin di seluruh wilayah Palestin yang dijajah. – Agensi
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan