Israel rancang rampas 1,250 ekar tanah Palestin

TANAH PALESTIN

BAITULMAQDIS, Isnin – Israel berkeras mahu merampas lebih seribu ekar tanah penduduk Palestin di kawasan Tebing Barat untuk dijadikan kawasan penempatan haram Yahudi.

Tanpa menghiraukan kecaman antarabangsa, pihak berkuasa Israel dilaporkan telah mengedarkan notis kepada penduduk Palestin di Kampung Jalud, terletak kira-kira 30 kilometer ke selatan Nablus untuk mengambil alih tanah seluas 1,250 ekar di kampung itu.

Majlis Perbandaran Jalud memaklumkan bahawa setakat ini rejim Zionis sudah membina penempatan haram di Adei Ad, Esh Kodesh, Ahiya dan Kidah di kawasan tersebut.

Dalam pada itu Institut Kajian Gunaan Baitulmaqdis (ARIJ) berkata, rejim Zionis juga telah merampas tanah yang luas dekat Kampung Qaryout terletak 28 kilometer di tenggara Nablus sejak berpuluh-puluh tahun lalu untuk membina sekurang-kurangnya 10 penempatan haram Yahudi dan dua pangkalan tentera.

Berikutan itu pada April lalu, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas telah menggesa Majlis Keselamatan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar meluluskan resolusi mengecam tindakan Israel memperluaskan aktiviti pembinaan penempatan haram Yahudi di atas tanah penduduk Palestin.

“Majlis Keselamatan merupakan pihak yang paling berkuasa bagi menghalang aktiviti haram itu atas kedegilan Israel,” katanya.

Untuk rekod, lebih setengah juta penduduk Israel tinggal di 230 kawasan penempatan haram yang dibina Israel sejak 1967, terutama di kawasan Tebing Barat dan Baitulmaqdis, sekali gus menyukarkan usaha mencapai perdamaian antara kedua-dua pihak. – Agensi

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?