Isu Taman Manggis dan banglo mungkin dibangkit pada sidang DUN: Teh Yee Cheu

20140507-Teh-transgender-committee_620_412_100

GEORGE TOWN, Selasa – Isu Taman Manggis dan pembelian banglo oleh Lim Guan Eng di Jalan Pinhorn, di sini mungkin akan dibangkitkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) bulan depan, kata ADUN Tanjong Bungah, Teh Yee Cheu.

Beliau berkata perkara itu mungkin akan dibangkit secara lisan untuk perbahasan pada sidang DUN ini yang dijadual dirasmikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abas pada 10 Mei.

“Mungkin (notis) usul tak sempat (untuk diserah kepada Speaker)…mungkin debat dan perbincangan dalam DUN sahaja,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas Kempen Kesedaran Berasaskan Komuniti ‘Jom Pakai Helmet’ di Tesco Seri Tanjung Pinang di sini hari ini.

Pada 31 Mac lepas, Teh menyerahkan notis usul bagi pindaan perlembagaan Undang-undang negeri Pulau Pinang untuk menghad tempoh jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang kepada dua penggal sahaja.

ADUN Tanjung Bungah itu dilapor berkata usul itu demi kepentingan rakyat dalam proses reformasi dan pendemokrasian bagi memberi peluang kepada pemimpin yang berkebolehan untuk menerajui tampuk pemerintahan negeri.

Isu tanah di Taman Manggis dan pembelian banglo oleh Lim dengan harga RM2.8 juta pula hangat diperkatakan selepas Anggota Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya membangkitkannya di Dewan Rakyat bulan lepas dan meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat perkara itu.

Terdahulu, Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya Pulau Pinang (MKJR) berkata kesedaran mengenai kepentingan menjaga keselamatan di jalan raya semasa menunggang atau membonceng motosikal perlu dipupuk sejak usia muda.

Beliau berkata statistik yang dikeluarkan Cawangan Perangkaan Trafik Bukit Aman bagi tempoh 2005 hingga 2015 menunjukkan penunggang dan pembonceng motosikal mencatat jumlah keseluruhan kematian paling tinggi iaitu 43,557 atau 59.67 peratus daripada jumlah keseluruhan 66,286 orang yang terkorban.

“Golongan remaja di dalam lingkungan usia 16 hingga 29 tahun mencatat kadar kematian paling tinggi akibat kemalangan jalan raya,” katanya dalam teks ucapannya yang dibacakan Anggota Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari.

Sehubungan itu beliau menasihatkan penunggang dan pembonceng motosikal mengambil berat aspek keselamatan dengan memakai topi keledar yang disahkan oleh SIRIM.  – Bernama

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?