Jabatan Negara AS fitnah Isma untuk sokong gerakan liberalisme
Tuduh Isma minta umat Islam Malaysia lancar perang semata-mata untuk menunjukkan perjuangan Isma adalah ekstrem
Oleh Nurul Ashikin Abdul Halim
BANGI, Jumaat – Laporan Kebebasan Beragama Antarabangsa 2014 yang dikeluarkan oleh Amerika Syarikat yang menyentuh mengenai Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana, adalah fitnah untuk menyokong gerakan minoriti liberal di negara ini.
Ketua Penerangan Isma, Ustaz Hazizi Abd Rahman, berkata fitnah yang dilemparkan dalam laporan itu secara langsung menyokong gerakan minoriti liberal yang selama ini songsang.
Malah katanya, kenyataan yang dikeluarkan itu juga bersifat menghasut supaya rakyat Malaysia menentang peruntukan Perlembagaan sedia ada.
“Gerakan itu tidak senang dengan peruntukan Perlembagaan yang mengiktiraf Islam sebagai agama negara,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Laporan yang dikeluarkan oleh AS itu menuduh Isma berkempen supaya umat Islam di negara ini melancarkan perang terhadap sebarang aktiviti yang mengancam kedudukan Islam.
“Oleh kerana perjuangan mempertahankan Islam itu adalah selari dengan Perlembagaan yang mengiktiraf ketinggian agama Islam, maka AS terpaksa menyelitkan istilah perang agar perjuangan itu dilihat ekstrem,” kata Ustaz Hazizi.
Justeru, beliau berkata, fitnah itu juga tidak lahir melainkan daripada laporan gerakan minoriti liberal itu yang mengkhianati negara dan menumpahkan kesetiaan kepada kuasa luar seperti AS.
“Mereka terpaksa bergantung kepada kuasa luar untuk memfitnah Isma, kerana perjuangan Isma yang mempertahankan Perlembagaan menyebabkan mereka kecundang apabila berdepan dengan tindakan saman dalam negara,” ujarnya.
Katanya, fitnah dalam laporan itu jelas sekali menampakkan sikap kerajaan AS yang suka menidakkan hak rakyat mana-mana negara dalam menentukan corak pentadbiran mereka.
Ustaz Hazizi turut menyeru rakyat Malaysia supaya peka dengan gerakan pengkhianatan minoriti liberal ini kerana kuasa dunia seperti AS sudah menghancurkan banyak negara.
Beliau juga mengingatkan mengenai tuduhan yang telah dilemparkan oleh AS kepada Iraq yang didakwa mempunyai senjata pemusnah, walaupun akhirnya terbukti tuduhan itu palsu selepas siasatan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
“Kesan daripada tuduhan itu telah mengakibatkan berjuta-juta kematian dan kebuluran kepada lebih sejuta kanak-kanak Iraq,” katanya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan