Jangan sesat dalam berfesyen

fesyen melayu 3

FESYEN, satu kategori yang tidak dapat lari daripada kehidupan manusia yang sentiasa inginkan perubahan.

Sama ada lelaki mahupun wanita, fesyen pasti menjadi tumpuan terutama sekali menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Pelbagai fesyen terbaru akan mula membanjiri dunia fesyen di negara ini menjelang hari lebaran.

Malah, perubahan fesyen dapat dilihat dengan ketara sekali melalui arus peredaran masa sejak dahulu sehingga ke hari ini.

Walaupun fesyen pada hari ini dilihat semakin menitik beratkan cara berpakaian mengikut tuntutan Islam namun, masih ada segelintir pereka fesyen yang masih alpa dengan budaya fesyen di negara ini.

Tahun lalu, dunia fesyen digemparkan dengan fesyen baju Melayu hipster yang mengetengahkan konsep pemakaian baju Melayu yang ketat.

Fesyen itu akhirnya mendapat kritikan hebat daripada orang ramai kerana dilihat sangat tidak sesuai untuk digayakan pada hari lebaran.

Tetapi, baju rekaan pereka fesyen terkenal itu masih mendapat sambutan oleh peminat-peminat fesyen di negara ini.

Bagaimanapun, baru-baru ini kita sekali lagi digemparkan oleh dunia fesyen dengan pertunjukan fesyen koleksi hari lebaran yang mendapat kritikan apabila modelnya tampil dengan hanya memakai seluar dan sampin sahaja.

Walaupun pereka fesyen terbabit sudah menjelaskan keadaan sebenar modelnya yang hanya memakai seluar dan sampin semasa pertunjukan, namun, penjelasannya dilihat agak terlambat setelah menerima pelbagai kritikan daripada orang ramai khususnya pengguna media sosial.

Menurut pereka fesyen itu, tujuan model yang menggayakan fesyen itu hanya memakai seluar dan bersampin adalah untuk menunjukkan fungsi dan kedudukan poket seluar serta ‘slim fit’ yang telah direka pada koleksi itu.

Malah katanya, beliau turut menyedari akan terdedah dengan pelbagai kritikan atas tindakannya itu.

Oleh itu, pereka fesyen sepatutnya lebih berwaspada dengan setiap tindakan mereka bagi mengelakkan salah faham sekaligus tersebarnya fitnah dalam kalangan masyarakat.

Pereka fesyen juga perlu lebih berhati-hati dalam melakukan inovasi terhadap cara pemakaian terutama pakaian yang direka untuk hari lebaran.

Tidak salah untuk berfesyen dan membuat inovasi agar bertepatan dengan kehendak pada zaman ini, namun, janganlah sampai padamkan terus budaya sebagai seorang Melayu dan Islam.

Pereka fesyen juga diingatkan agar lebih memahami syariat Islam dalam rekaan fesyen terbaru dan pastikan rekaan itu kelak dapat membawa lebih ramai orang mencintai Islam.

Allah SWT telah berfirman dalam surah Al-A’raaf ayat 26 yang berbunyi:

Hai anak Adam, sesungguhnya kami telah menurunkan kepada kalian pakaian untuk menutup aurat kalian dan pakaian indah untuk perhiasan dan pakaian takwa itulah yang paling baik, yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah SWT, mudah-mudahan mereka selalu ingat.

Justeru, kepada pereka fesyen dan penggemar fesyen, tidak salah untuk mengikut arus fesyen tetapi janganlah sampai kita terlupa menjaga batas-batas dalam berfesyen sekaligus menjadikan kita lebih menitik beratkan soal berfesyen daripada yang sepatutnya.

Harus diingat cara pemakaian yang betul mengikut etika berpakaian yang telah digariskan oleh syarak iaitu perlu menutup aurat, tidak terlalu ketat, tidak memakai pakaian berlainan jantina dan beberapa ketetapan yang telah digariskan.

Jangan sampai kita sesat dalam berfesyen dengan sanggup menghalalkan semua perkara semata-mata untuk mengikut peredaran fesyen yang dilihat lebih menarik dan terkini.

Nurul Ashikin Abdul Halim
Wartawan pelatih Ismaweb.net

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?