Jumlah bayaran balik PTPTN dijangka meningkat sehingga RM2 bilion
KUALA LUMPUR, Khamis – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata jumlah kutipan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tahun ini dijangka meningkat kepada RM2 bilion.
“Pada 2015 PTPTN berjaya membuat kutipan bayaran balik sebanyak RM1.4 bilion iaitu hampir dua kali ganda daripada sasaran yang diletakkan iaitu RM750 juta.
“Pada tahun ini pula, PTPTN turut mencatatkan kutipan pembayaran balik pinjaman melebihi RM200 juta sebulan dan pada bulan lepas nilai kutipan adalah RM237.4 juta,” katanya pada sesi soal-jawab di persidangan Dewan Negara.
Bagaimanapun, Idris berkata, sehingga 29 Feb 2016, seramai 661,262 peminjam masih gagal membuat bayaran balik melibatkan jumlah tertunggak sebanyak RM5.4 bilion.
Justeru, bagi meningkatkan prestasi bayaran balik pinjaman, PTPTN melaksanakan pelbagai program bagi memupuk kesedaran kepada peminjam untuk melangsaikan hutang mereka.
“Melalui tindakan penguatkuasaan dan penstrukturan semula hutang, jumlah hutang tertunggak itu dijangka berkurangan berikutan peningkatan jumlah peminjam yang membuat penyelesaian hutang dan bayaran balik melalui potongan gaji,” katanya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan