KATA PEDANG: Hindraf, Pemuda MIC ketakutan, tak hormat umat Islam
SELEPAS sekumpulan ‘hero’ Hindu membantah kehadiran pendakwah Islam terkenal, Dr Zakir Naik ke Malaysia yang bermula kelmarin hingga 20 April, semalam parti politik dalam gabungan Barisan Nasional (BN) pula mahu tunjuk hero.
Mungkin tercabar dengan tindakan kumpulan pembela kasta rendah masyarakat India di negara ini – Hindraf – yang lebih awal bertindak daripada mereka, Pemuda MIC pula mahu meraih sokongan apabila turut mahu menghalang Dr Zakir berceramah di Malaysia.
Menerusi ketuanya, C Sivarraajh, Pemuda MIC dalam satu kenyataan semalam menuduh Dr Zakir merendah-rendahkan agama lain yang boleh mencetuskan rasa kurang senang kerana tidak menghormati dan tidak sensitif terhadap orang lain.
Sebelum ini, Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy menggesa kerajaan tidak membenarkan Dr Zakir daripada menyampaikan siri ceramahnya di Kuala Lumpur dan Terengganu kerana kononnya ajaran yang disampaikan Dr Zakir tidak sejajar dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Tetapi, Pedang dan ramai lagi netizen tahu bahawa Hindraf dan MIC sebenarnya takut lebih ramai penganut Hindu memeluk Islam setelah mengetahui betapa sucinya agama yang dibawa oleh seorang nabi yang namanya juga disebut dalam kitab Hindu.
Sila tonton penjelasan seorang lelaki yang dilahirkan di India bernama Dr Zakir Naik yang menerangkan mengenai Nabi bagi umat Islam iaitu Muhammad SAW disebut dalam kitab-kitab agama Hindu.
Hindraf dan Pemuda MIC sepatutnya menjadi pembela dan pejuang untuk meningkatkan taraf ekonomi dan nasib golongan minoriti miskin India, bukannya campur tangan dalam urusan agama orang lain, apa lagi dalam urusan agama Islam – satu-satunya agama yang disebut dalam Perlembagaan Persekutuan.
Pedang nasihat kedua-dua pergerakan itu supaya fokuskan kepada memperkasakan ekonomi masyarakat India. Cuba siasat berapa ramai orang India mendapat manfaat daripada Sekretariat Khas Untuk Memperkasakan Usahawan India (SEED).
Tetapi, Pedang tidak lah berasa pelik dengan perangai golongan seperti ini. Mereka ini sebenarnya dalam ketakutan, sebagaimana dikatakan Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Kuala Terengganu, Dr Razali Musa.
Hindraf takut penganut Hindu akan hadir ke majlis Dr Zakir apatah lagi dengan pengaruh luar biasa yang telah ditunjukkan dalam program-program di kebanyakan negara oleh tokoh itu, kata Dr Razali.
Mungkin ini yang mereka takuti:
Sebenarnya, ceramah Dr Zakir di Malaysia bukan hendak ditujukan kepada penganut agama lain, tetapi tidak salah jika mereka mahu hadir mendengar hujah intelektual. Sudah diketahui umum, Dr Zakir bukan saja menggunakan al-Quran secara spontan dalam hujahnya, tetapi menggunakan kitab Hindu dan Bible.
Pedang berharap parti-parti komponen BN, khususnya UMNO, menasihatkan Pemuda MIC supaya tidak bermain api keagamaan, tidak menganggu urusan agama Islam, kerana mereka adalah parti politik yang suatu masa nanti mengharapkan umat Islam memberi undi kepada calon-calon mereka.
Kata Pedang: Satu point kepada Hindraf. Pergi siasat sama ada SEED yang mendapat peruntukan jutaan ringgit daripada kerajaan bergerak betul atau tidak dalam memberi bantuan kepada semua orang India TANPA MENGIRA KASTA.
Penafian: Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.
Ulasan
Catat Ulasan