Kedah rekod 10, 915 anak tidak sah taraf

Suraya Yaacob

ALOR SETAR, Isnin – Bagi tempoh 2010 hingga 2015, terdapat 10,915 anak tak sah taraf yang telah direkodkan oleh Jabatan Pendaftaran Negeri Kedah.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan, Kebajikan Masyarakat Datuk Suraya Yaacob berkata, kewujudan anak tidak sah taraf ini antaranya disebabkan oleh kes rogol, kes luar nikah dan sebahagian besarnya kerana perkahwinan tidak teratur.

 “Seramai 1,553 anak tak sah taraf direkod pada 2010; 1,620 (2011); 1,932 (2012); 1,760 (2013); 1,928 (2014) dan 2,122 pada 2015.

“Manakala bagi tempoh Januari hingga Februari 2016 pula, seramai 210 anak tak sah taraf direkodkan, dengan daerah Kota Setar mencatat jumlah tertinggi iaitu 76, diikuti Kulim (30) dan Kuala Muda seramai 27 orang,” katanya di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata perkahwinan tidak teratur di negeri ini banyak disebabkan faktor kedudukan Kedah yang bersempadan dengan Thailand.

Justeru, ia memudahkan rakyat di negeri ini mengambil jalan mudah dengan menikah di sempadan.

“Yang menjadi masalah kerana kos mendaftar nikah dengan pihak Jabatan Kehakiman Syariah dan keduanya poligami tanpa pengetahuan isteri pertama.

“Kedua-dua ini tidak boleh dipermudahkan prosesnya, kalau kita mudahkan ini akan membabitkan hak-hak isteri pertama,” katanya.

Bagi membantu menyelesaikan isu ini, kerajaan negeri telah membuat bengkel bersama Jabatan Agama Islam Kedah dan JPN bagi memberi pendedahan mengenai kepentingan perkahwinan secara teratur.

“Ini supaya wanita-wanita yang secara rela sanggup kahwin di luar negara mengetahui tatacara sebenar.

“Mereka perlu bertanya sama ada perkahwinan mereka dapat dokumen berkaitan di Konsulat sesebuah negara. Perlu tahu hak dan tanggungjawab mereka.

“Apabila sudah balik ke Malaysia, mereka perlu daftarkan perkahwinan mereka secara sah dan dokumen itu perlu disimpan bagi memastikan ada hitam putih sekiranya apa-apa berlaku,” katanya.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?