Kementerian usul gubal undang-undang ambil alih tanah yang dibiarkan terbakar

WanJunaidiTuankuJaafar

PUTRAJAYA, Rabu – Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar akan mengemukakan cadangan kepada Jabatan Peguam Negara untuk menggubal undang-undang mengambil alih semula tanah-tanah yang dibiarkan terbakar tanpa pengawalan daripada pemiliknya.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkara perkara itu akan melibatkan tanah persendirian dan tanah ladang yang dibakar secara terbuka dan menyumbang kepada pencemaran udara yang bertukar kepada jerebu.

“Undang-undang sedia ada dilihat tidak mampu untuk menghalang daripada aktiviti pembakaran terbuka terus dilakukan…jadi kita mahu tindakan yang lebih tegas lagi, kalau di Sarawak kita panggil ‘re-enter the land’ yang mana tanah diserah kepada kerajaan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Wan Junaidi berkata sebanyak 109 kebakaran dilaporkan berlaku di kawasan tanah pertanian sejak 1 April hingga 25 April, manakala pada Mac lepas sejumlah 188 kes kebakaran tanah pertanian direkodkan, yang merupakan jumlah yang tertinggi setakat tahun ini.

“Kejadian ini berlaku kerana ada pihak yang tidak bertanggungjawab dan tidak melihat tugas menjaga alam sekitar untuk mengelakkan daripada jerebu sebagai tanggungjawab bersama tidak kira dalam kalangan petani kecil atau petani besar,” katanya.

Wan Junaidi berkata kementerian juga sedang mempertimbang untuk memperkenalkan kompaun bagi kesalahan pembakaran terbuka secara skala bersenggat.

“Buat masa ini kompaun maksimum dikenakan sebanyak RM2,000 dan saya ingin mencadangkan akan dibuat secara skala bersenggat, agar setimpal dengan kesan kebakaran yang dilakukan,” katanya.

Dalam pada itu sebanyak 1,460 kes kebakaran terbuka yang meliputi kebakaran hutan, belukar, tapak pembinaan, tapak pelupusan sampah, pertanian dan industri dikesan sejak Januari hingga 25 April.

Katanya bagi jumlah kutipan kompaun bagi kesalahan pembakaran terbuka bagi tahun 2014 sehingga April 2016 adalah sebanyak RM1.2 juta.

Menurut Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mereka yang disabitkan dengan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya. – Bernama

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?