Lee jalani latihan penyesuaian diri di empat Kem Everest

image (1)

SOLUKHUMBU (Nepal), Rabu – James Lee Chong Meng, 68, pendaki tertua Malaysia, kini menjalani latihan untuk menyesuaikan diri dengan keadaan dan cuaca di kem Everest.

Lee, yang tiba di Kem Induk Everest (EBC), yang terletak pada ketinggian 5,364 meter dari paras laut Isnin lepas, kini menjalani latihan mendaki empat kem Everest iaitu Kem Satu, Dua, Tiga dan Empat sebelum mendaki puncak Gunung Everest yang terletak pada ketinggian 8,840 meter dari paras laut.

“Sebagai permulaan saya akan menjalani latihan penyesuaian diri dengan mendaki dari EBC ke Kem Satu Everest dan turun semula ke EBC, kemudian mula balik dari EBC ke Kem Dua Everest dan balik semula ke EBC, dan proses sama untuk Kem Tiga dan Kem Empat Everest secara berperingkat untuk melatih diri berada di tempat paling tinggi, ” katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan Bernama yang turut mengikuti ekspedisi Lions Mount Everest Expedition (Lions MEE) 2016, ekspedisi anjuran Lions Club International District 308 B1 yang bertujuan meningkatkan kesedaran alam sekitar dalam kalangan masyarakat dan memperlihatkan semangat ‘Malaysia Boleh’.

Bekas jurutera itu berkata latihan pendakian akan dibuatnya secara berulang kali di kem-kem berkenaan untuk menyesuaikan diri, sebelum mendaki ke puncak Everest, yang dijangka pada bulan depan.

Lee yang bakal mencipta rekod sebagai pendaki lelaki tertua di Asia Tenggara yang akan menakluki gunung setinggi 8,848 meter itu berkata, setiap kem Everest yang bakal didakinya mempunyai ketinggian yang berbeza.

“Ini kerana setiap kem mempunyai ketinggian yang boleh mencapai antara 6,000 sehingga 7,000 meter ke atas dari paras laut dan berisiko tinggi untuk kena reput fros.

“Cuaca di atas sana (kem Everest) terlalu sejuk yang ekstrim sehingga boleh membawa maut. Saya difahamkan cuma boleh berada di puncak Everest selama empat hari, lebih dari tempoh itu tidak dibenarkan,” katanya.

Beliau yang kini berada di EBC, berkata keadaan dirinya sihat dan bersemangat, malah kaki kanannya yang terseliuh kini telah kembali sembuh.

Beliau yang mula mendaki gunung sebagai hobi semasa usianya 40-an, telah mendaki beberapa gunung termasuk Gunung Kinabalu, Gunung Rinjani di Indonesia, Gunung Fuji di Jepun dan Gunung Ama Dablam di Nepal.

Lee memulakan impian menakluk Gunung Everest setinggi 8,848 meter sejak 31 Mac lepas dan dijangka mencapai misinya dalam masa 70 hari.

Turut menyertai pasukan pendakian ialah dua sherpa profesional iaitu Ngaa Tenji, 33, dan Ang Temba, 44, serta dua pendaki Sherine Leong, 40, dan Desmond Tee, 56, yang menyertai Lee ke EBC.

Bernama selaku media rasmi ekspedisi menghantar tiga wakil iaitu wartawan Muhammad Afiq Mohd Asri, 25, jurukamera TV Bernama, Fazril Amirul Azali, 23 dan jurufoto Zulfadhli Zulkarnain, 23. – Bernama

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?