Malaysiakini buat suntingan melampau pada kenyataan saya, kata Abdul Rahman

Malaysiakini

KUALA LUMPUR, Isnin – “Portal Malaysiakini dan wartawannya membuat suntingan melampau terhadap kenyataan saya pada sidang media sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia,” kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan dalam kes samannya terhadap Malaysiakini.

Menteri itu berkata artikel dan video yang diterbitkan di laman portal Malaysiakini dan Mkini TV pada 6 Nov 2015 telah disunting sehingga maksud asal atau intipati kenyataannya semasa sidang akhbar itu disalah erti oleh pembaca.

“Artikel dan video tersebut apabila dibaca secara keseluruhan menggambarkan plaintif sebagai seorang menteri dan ahli politik yang tidak mempedulikan kesusahan rakyat,” katanya dalam jawapan kepada pembelaan Mkini Dotcom Sdn Bhd dan wartawan Geraldine Tong, selaku defendan.

Pada 13 Jan 2016, Abdul Rahman yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Anggota Parlimen Kota Belud, memfailkan saman itu terhadap Malaysiakini dan Tong berhubung artikel dan video yang diterbitkan di laman portal itu.

Abdul Rahman berkata artikel dan video yang diterbitkan tanpa kebenaran daripadanya itu tidak mencerminkan intipati asal sebaliknya ia disunting seolah-olah plaintif mengarahkan masyarakat di bandar pulang ke kampung.

Salinan jawapan kepada pembelaan itu diperolehi media hari ini daripada peguam Datuk M.Reza Hassan, mewakili Abdul Rahman, selepas pengurusan kes di hadapan Hakim Rosnaini Saub.

M. Reza memberitahu pemberita, mahkamah menetapkan 4 Mei untuk pengurusan kes.   

Dalam samannya, Abdul Rahman mendakwa pada 6 Nov 2015, defendan secara semborono dan dengan niat jahat menerbitkan atau menyebabkan kenyataan fitnah dan palsu yang merujuk kepadanya, di laman web www.malaysiakini.com yang bertajuk “Minister’s ‘go back to kampung’ notion draws contempt”.

Beliau mendakwa kenyataan fitnah itu antara lain membawa maksud plaintif tidak mempedulikan kesusahan yang dialami masyarakat berikutan kenaikan kos sara hidup, tidak menggalakkan masyarakat untuk mencari pendapatan di bandar dan tidak sensitif terhadap isu semasa yang memberi kesan kepada masyarakat awam.

Plaintif juga mendakwa defendan sedar dan tahu bahawa penerbitan kenyataan fitnah itu akan menjejaskan reputasi dan kredibitili plaintif selain menyunting kenyataan itu sehingga menjadikannya berbeza daripada maksud asal yang disampaikan plaintif.

Abdul Rahman memohon satu perintah injunksi agar defendan dihalang daripada menerbitkan, mengeluarkan, mencetak atau menyebabkan diterbitkan perkataan yang memfitnahnya.

Beliau juga memohon satu perintah untuk memaksa defendan mengeluarkan dan menerbitkan permohonan maaf terhadap plaintif dalam akhbar utama Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina berdasar terma yang dipersetujui plaintif.

Plaintif menuntut ganti rugi am, teruk, teladan, kos, faedah serta relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Sementara itu, Mkini dan Tong dalam pernyataan pembelaan menafikan telah menyunting jawapan menteri semasa sidang media itu sebaliknya bergantung kepada keseluruhan kenyataan yang dibuat plaintif.

Mereka berkata kenyataan yang dibuat plaintif sebagai menteri semasa sidang media itu merupakan subjek laporan berita yang sah oleh defendan dan komentar daripada orang awam. – Bernama

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?