Pameran manuskrip jawi dan Al-Quran berusia 400 tahun di Kuala Kangsar
KUALA KANGSAR, Ahad – Orang ramai berpeluang menyaksikan dua buah manuskrip tua – al-Quran berusia antara 300 hingga 400 tahun dan sebuah manuskrip jawi tulisan tangan dari Nusantara – sempena perayaan Maulid Kubra di Dewan Jubli Perak, di sini, mulai semalam hingga hari ini.
Pengurus Yayasan Kebajikan Anak-Anak Kuala Kangsar, Azizul Rahim Abdul Rahman berkata manuskrip al-Quran dan manuskrip jawi itu masing-masing merupakan tulisan tangan oleh Sheikh Nurudin Al-Raniri dan Sheikh Daud Al-Fatani.
“Kita memperoleh manuskrip al-quran dan manuskrip jawi tulisan tangan daripada simpanan sebuah sekolah Pondok Ahamadiah Islamik, Kampung Wakaf Anak Aya Daerah Jeringa, Narathiwat, Thailand,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.
Selain itu, beliau berkata sebuah manuskrip ‘Rahsia Keris’ yang ditulis atas kulit kambing dan sebuah manuskrip ‘Sakaratul Maut’ kedua-duanya berusia 300 tahun turut dipamerkan.
“Sebuah manuskrip Kitab Fiqah tulisan tangan berusia 700 tangan oleh Sheikh Daud Al-Fatani juga menjadi tarikan,” katanya.
Azizul Rahim berkata manuskrip-manuskrip berkenaan telah dihasilkan sekitar tahun 1636 hingga 1641 Masihi di atas kulit kayu.
Tujuan program itu diadakan bagi mengembalikan kegemilangan Melayu Islam di negara ini di samping memartabatkan institusi raja di bandar di raja ini, kata beliau.
Tambahnya, selain menyaksikan pameran berkenaan, umat Islam juga boleh menghadiri program yang diadakan seperti pertandingan nasyid, marhaban, pertunjukan pentomen dan perarakan maulid yang kini semakin dilupakan dalam perayaan umat Islam.
Azizul Rahim berkata pihaknya juga sedang dalam perancangan untuk mengadakan sebuah lagi pameran al-Quran berusia 1,000 tahun di sini, pada tahun depan.
“Kita tidak dapat membawa naskah al-Quran tulisan tangan itu kerana ia sedang menjalani pemuliharaan di Turki dalam tempoh setahun,” katanya. – Bernama
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan