PAS gesa lanjutkan kontrak Zeti sekiranya belum menemui pengganti

Tuan-Ibrahim

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, Selasa – PAS mendesak agar Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Aziz diberikan lanjutan kontrak jika tiada pengganti yang sesuai selainnya.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata desakan itu juga sebagai memenuhi hasrat Zeti yang mahu melihat isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diselesaikan sebelum beliau bersara.

“Bulan April sudah hampir penghujungnya, nampaknya hasrat Tan Sri Zeti untuk mengambil ‘tindakan pentadbiran dan penguatkuasaan yang sesuai’ terhadap 1MDB kerana gagal mengemukakan bukti berkenaan wang sejumlah USD$1.83 bilion yang berada di luar negara semakin malap atau tiada sebarang bunyi kedengaran daripada Peguam Negara.

“Bukan itu sahaja, hasrat Dr. Zeti untuk melihat isu 1MDB selesai sebelum beliau bersara nampaknya susah kesampaian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam masa yang sama, katanya, rakyat masih menanti jaminan Perdana Menteri bahawa Bank Negara akan bebas daripada campur tangan ahli politik.

“BNM adalah satu-satunya institusi yang masih dipercayai rakyat Malaysia, perlu bebas daripada sebarang pengaruh politik.

“Kerajaan wajib melupakan kecenderungannya dalam mencabuli kebebasan BNM lebih-lebih lagi tangan-tangan ghaib yang cuba menutup isu 1MDB.

“Peringatan Dr. Zeti bahawa BNM perlu kekal sebagai badan bebas daripada sebarang pengaruh politik perlu diambil serius.

“Jaminan ini sangat penting bagi membina keyakinan pelabur luar dan integriti BNM dapat dipertahankan,” tegasnya.

Mengulas lanjut Tuan Ibrahim menegaskan bahawa pengganti Zeti perlu setanding dengan beliau dalam melaksanakan amanah negara kerana akan menyambung tugasan menyelesaikan kemelut 1MDB.

“PAS menegaskan mereka yang pernah melibatkan diri di dalam kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan mana-mana parti politik BN mestilah ditolak sebagai calon gabenor BNM yang baru.

“Pengganti Dr. Zeti dijangka akan terus memikul tugas menyelesaikan masalah 1MDB. Oleh itu, pengganti beliau mestilah dari kalangan yang berwibawa, bebas dari pengaruh politik, berani, tegas, adil, berpihak pada kebenaran dan berkemampuan seperti Dr. Zeti,” katanya.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?