Pemilik Rayani Air mahu konsep patuh syariah dikekalkan
KUALA LUMPUR, Khamis – Ketua Pegawai Eksekutif Rayani Air, Ravi Alagendrran mahu konsep patuh syariah dikekalkan sebagai ‘syarat’ dalam memuktamadkan pelabur baharu.
Beliau berkata, konsep tersebut adalah identiti Rayani Air sejak penubuhannya meskipun selepas ini pelabur baharu bakal mengambil alih dan menguruskan operasi syarikat penerbangan itu.
“Saya sedia melepaskan 51 peratus pegangan saham kepada pelabur baharu, sekali gus ia bermakna pelabur tersebut akan menguruskan operasi Rayani Air selepas ini dan ia perlu diurus serta dikembangkan dengan lebih baik berlandaskan sebuah syarikat penerbangan patuh syariah.
“Dua syarat paling utama bagi memilih pelabur ialah syarikat yang memberi suntikan dana bagi membolehkan Rayani Air terus beroperasi dan berkembang serta Rayani Air dikekalkan sebagai syarikat penerbangan patuh syariah.
“Sebab itu saya perlu berhati-hati dalam pemilihan pelabur. Saya berharap pelabur yang berminat terhadap Rayani Air memahami perkara ini,” katanya yang dipetik daripada mStar, hari ini.
Meskipun tidak menafikan bahawa ada pelabur yang menyuarakan hasrat untuk mengubah Rayani Air kepada konsep lain, beliau enggan mengulas lanjut kerana urusan berkaitan pelabur dan dana masih dalam rundingan dan tawaran pelaburan masih terbuka kepada semua.
“Apa yang boleh saya katakan, saya mahu pelabur yang mengekalkan konsep patuh syariah. Saya gembira kerana terdapat beberapa pelabur lain masih melihat Rayani Air mempunyai potensi sebagai syarikat penerbangan patuh syariah.
“Mereka bukan sahaja mahu mengembangkan Rayani Air ke peringkat lebih tinggi, malah mahu menyasarkan pasaran umrah,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau turut berharap agar hasratnya untuk mengekalkan konsep patuh syariah tidak dipersoalkan hanya kerana statusnya sebagai pemilik bukan Islam.
“Isunya bukan kerana saya seorang pemilik bukan Islam, tetapi apa yang utama adalah Malaysia sebagai negara pelbagai agama dan kaum. Oleh itu, saya minta konsep patuh syariah dikekalkan kerana membantu kepada penjenamaan Malaysia,” katanya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan