Pemimpin disaran contohi sejarah kepimpinan terdahulu

dr-Zaidi

KUALA LUMPUR, Rabu – Sikap pemimpin terdahulu yang ikhlas dan amanah dalam menjalankan tanggungjawab kepada negara perlu dijadikan panduan oleh pemimpin masa kini.

Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Dr Mohd Zaidi Ismail berkata cabaran dan situasi pada zaman Khulafa Ar-Rasyidin mungkin berbeza dengan apa yang dihadapi pemimpin kini, namun ia masih lagi sesuai untuk diikuti bagi membentuk barisan kepimpinan yang disenangi rakyat.

“Kita (pemimpin) perlu banyak belajar dari sejarah walaupun kadang-kadang kalau kita tengok sekali imbas dalam cabaran itu mungkin berbeza tetapi sebenarnya ada corak atau ‘pattern’ yang serupa,” katanya kepada Bernama selepas Bengkel Kepimpinan ‘Trustlead’ di sini hari ini.

Bengkel dua hari anjuran IKIM itu disertai 27 peserta dari seluruh negara.

Sementara itu, beliau berkata pemimpin juga perlu bijak memilih penasihat kerana penasihat yang mempunyai kepentingan sendiri akan memberi impak negatif terhadap kepimpinannya.

“Pemimpin seharusnya mengelak daripada mempunyai pembantu yang tidak baik, mempunyai agenda tersendiri, kerana dikhuatiri pembantunya akan menggelincirkan reputasi pemimpin itu,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Zaidi berkata bakat kepimpinan harus dibentuk dari kecil iaitu di peringkat sekolah lagi supaya pemimpin yang berkaliber dapat dilahirkan pada masa depan.

“Dengan adanya pemimpin seperti itu, kita sudah boleh bercakap mengenai wakil Islam yang berkaliber, dihormati dan disegani di peringkat antarabangsa,” katanya. – Bernama

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?