Pendakwah diseru berlapang dada, jauhi pertelagahan pendapat
BANGI, Jumaat – Para pendakwah Islam dinasihati untuk sentiasa berlapang dada dan tidak menjadi seperti ahli politik yang bertelagah sekiranya timbul perbezaan pendapat.
Berdasarkan teks khutbah Jumaat yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini, mimbar mengatakan saban hari sering berlakunya perbalahan dan perdebatan dalam perkara yang sepatutnya boleh berlapang dada.
“Jika dahulu manusia hanya bertelagah dalam konflik politik, namun hari ini situasi menjadi lebih menyedihkan apabila umat Islam boleh berkelahi dalam konteks agama dan penyebaran dakwah.
“Sepatutnya sikap para pendakwah bukan seperti orang politik konvensional meskipun dalam perkara-perkara ijtihadi,” kata teks khutbah itu.
Selain itu, mimbar turut menyeru agar semua pihak mengelakkan diri daripada berdebat di media sosial dalam isu dakwah kerana ia dikhuatiri akan membawa perpecahan dan permusuhan.
“Jauhilah daripada bertikam lidah, berburuk sangka dan saling menuduh antara satu sama lain lebih-lebih lagi menerusi alam siber, gajet dan media sosial.
“Sentiasalah bersangka baik (husnuzzan) dan elakkanlah daripada berdebat kerana Islam tidak menggalakkan umatnya berdebat, dikhuatiri ia membawa kepada perpecahan dan permusuhan yang sia-sia.
“Dengan kematangan minda dan kehebatan ilmu pada diri, bersama-samalah kita meraikan perbezaan pada setiap insan agar tidak berlaku pertelingkahan dan pergaduhan yang tidak menguntungkan.
“Jangan sampai “kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan dan umat binasa” katanya teks khutbah itu lagi.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan