Pesakit menderita organ gagal berfungsi meningkat setiap tahun
Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
SERDANG, Sabtu – Kekurangan penderma organ dan tisu di negara ini menjadi halangan utama untuk membantu pesakit yang menderita berikutan kegagalan organ berfungsi.
Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Datuk Dr Abdul Jalil Nordin berkata, saban tahun pesakit yang menderita akibat kegagalan organ semakin meningkat, tetapi jumlah penderma organ dan tisu yang amat rendah.
“Pada tahun 2001, seramai 7,837 pesakit buah pinggang di Malaysia menjalani rawatan dialisis dan jumlah ini telah meningkat kepada 22,932 pada tahun 2010.
“Dari tahun 1975 sehingga 30 Oktober 2011, hanya 345 rakyat Malaysia telah menderma organ atau tisu selepas kematian di mana jumlah ini jauh berbeza berbanding negara-negara maju yang lain,” katanya pada Konvensyen Kesihatan Neuro dan Fiqh Perubatan Nasional 2016 di Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.
Katanya, antara punca permasalahan yang dikenal pasti adalah salah tanggapan daripada masyarakat.
“Persoalan-persoalan seperti adakah pemindahan organ sama seperti menyeksa mayat, apakah yang terjadi pada Hari Kebangkitan kelak kepada mereka yang melakukan pemindahan dan sebagainya sering bermain dalam kotak pemikiran masyarakat.
“Masyarakat sememangnya mempunyai pilihan untuk membuat keputusan, namun kita juga bertanggungjawab memastikan agar pendirian masyarakat itu dibuat berdasarkan maklumat yang tepat dan bersesuaian,” tegasnya.
Justeru, beliau berharap pengamal perubatan dapat bersama membantu dalam memberi kesedaran serta pemahaman yang sebenar kepada masyarakat yang masih berada dalam keraguan.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan