‘Pindah organ bukan ketika penderma masih hidup’
Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
SERDANG, Sabtu – “Orang kita takut cakap pasal derma organ, sebab orang kita takut cakap pasal kematian,” kata Ketua Unit Perkhidmatan Transplan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Hirman Ismail.
Katanya, walaupun Rasulullah SAW selalu menyuruh kita agar mengingati kematian, namun perkara itu masih sukar untuk diamalkan berikutan masyarakat masih dihantui perasaan takut.
“Segelintir tanggapan orang kita, contoh mak cik-mak cik, mereka fikir menderma organ ini masa kita tengah hidup. Contoh masa dia tengah hidup, hospital telefon panggil suruh datang hospital sebab hospital nak organ.
“Sedangkan pemindahan organ itu dilakukan sewaktu penderma itu sudah mati dan itu pun boleh dilakukan sekiranya keluarga penderma itu membenarkan,” katanya pada Konvensyen Kesihatan Neuro & Fiqh Perubatan Nasional 2016 di Universiti Putra Malaysia, hari ini.
Beliau berkata, ada juga masyarakat yang tidak yakin terhadap kaedah perubatan kerana ia dianggap sesuatu yang baru.
“Masyarakat masih belum terbiasa sebab mereka tak nak berbincang mengenai pendermaan organ.
“Sebenarnya di Malaysia pemindahan organ ini sudah bermula pada 1975, dan pada tahun lalu kita menyambut 40 tahun kewujudannya.
“Di Malaysia sendiri, kepakaran pemindahan organ kita adalah buah pinggang, jantung, hati dan paru-paru. Manakala bagi tisu pula ialah mata (kornea), injap jantung, tulang dan kulit.
Antara hospital yang menyediakan perkhidmatan ini ialah Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Selayang, Institut Jantung Negara/Institut Perubatan Respiratori.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan