Proton tak boleh harapkan kerajaan lagi: Tun Dr Mahathir
BANGI, Rabu – “Proton tidak boleh lagi mengharapkan bantuan kerajaan. Hanya pemilik dan penggemar Proton yang dapat membantu. Oleh itu, bantulah pengeluar kereta nasional anda.”
Demikian kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, malam tadi sambil menjelaskan bahawa beliau meletak jawatan Pengerusi Perusahaan Otomobil Berhad (Proton) kerana tidak mahu pengeluar kereta nasional itu berdepan masalah berurusan dengan kerajaan.
“Saya tahu saya persona non grata dengan kerajaan. Saya tidak mahu menjadi punca ketidakupayaan Proton untuk pulih kerana kehadiran saya,” katanya menulis dalam blog beliau lewat malam tadi.
Katanya, beliau membuat keputusan sendiri demi masa depan Proton dan tidak berdendam terhadap Proton, malah beliau juga tidak mahu melihat Proton gagal selepas pemergiannya.
“Ini disebabkan Proton dilihat menghadapi masalah dengan kerajaan dan tanpa sebab tidak diketahui jualan kereta Proton merosot,” katanya.
Proton katanya, bakal memperkenalkan model baru lebih berkualiti, termasuk pelancaran Perdana baharu bulan ini dan diikuti oleh Persona dan Saga baharu.
Mengulas lanjut Tun Dr Mahathir berkata, sumbangan Proton kepada kerajaan adalah lebih besar berbanding pemberian kerajaan kepada syarikat kereta nasional itu.
Katanya, kerajaan mendakwa telah menyediakan geran serta pelbagai bentuk bantuan, termasuk kehilangan cukai kira-kira RM13.9 bilion.
Beliau turut menyenaraikan pemberian kerajaan kepada Proton iaitu:
1. RM1,320 juta adalah insentif cukai kepada Proton yang juga layak diterima oleh kereta lain;
2. RM773.8 juta dalam bentuk geran Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), geran khas, pakej rangsangan yang turut dinikmati oleh pengeluar automotif lain; dan
3. RM12,532.6 juta insentif khusus yang turut dinikmati oleh pemain industri automotif.
Beliau berkata, berdasarkan kepada rekod itu, jumlah sumbangan kerajaan bermula 1985 sehingga kini ialah RM14,631.4 juta.
Bagaimanapun, Tun Dr Mahathir berkata, jumlah sumbangan Proton kepada kerajaan sejak 1985 lebih tinggi iaitu RM24,095 juta membabitkan:
(i) Duti eksais sejak 1985 hingga sekarang ialah RM11,785 juta;
(ii) Cukai jualan sejak 1985 hingga sekarang RM9,470 juta;
(iii) Cukai korporat dari 1985 hingga sekarang RM1,410 juta;
(iv) Duti import sejak 1985 hingga 2008 ialah RM1,403 juta; dan
(v) Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sejak 1 April 2015 ialah RM28 juta.
Katanya, suntikan dana oleh kerajaan berjumlah RM400 juta sudah dibayar sepenuhnya.
“Selain itu, Proton telah membiayai sepenuhnya kilang di Tanjung Malim bernilai RM1.8 bilion menggunakan tabung dalamannya yang ketika itu mempunyai sejumlah RM4 bilion.
“Sebagai tambahan Proton menyediakan 12,000 pekerjaan secara langsung dan 250,000 pekerja secara tidak langsung,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan