Rakyat Johor gesa selaras cuti mingguan sekolah, swasta
Gambar hiasan
Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, Sabtu – Kerajaan Johor diminta menyelaraskan cuti hujung minggu di negeri itu membabitkan hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.
Permintaan itu dibuat rakyat Johor kerana sekolah di negeri berkenaan bercuti pada Jumaat dan Sabtu manakala pihak swasta pula bercuti pada Sabtu dan Ahad.
Perkara tersebut diluahkan mereka menerusi laman Facebook ‘Selaraskan Cuti Hujung Minggu Johor’ yang menuntut supaya isu ini dapat diselesaikan dengan segera.
Berdasarkan status terkini yang dimuat naik oleh admin akaun itu berkata, sehingga kini isu penyelarasan cuti hujung minggu ini tidak mendapat perhatian oleh pihak kerajaan mahupun mana-mana wakil pembangkang.
“Sehingga ke hari ini adakah sebarang kenyataan dibuat berhubung isu ini dari mana-mana pemimpin negeri.
“Pembangkang pun tidak ada yang berminat ambil isu ini. Maka, oleh kerana itu kerajaan mempunyai sebab untuk sekadar membiarkan suara kita berlalu bersama masa.
“Isu rakyat telah hilang dari perkara yang patut diberi perhatian oleh wakil-wakil yang mereka pilih sendiri,” kata admin.
Berikutan cuti yang tidak selaras itu, rata-rata ibu bapa meluahkan rasa kesal kerana terpaksa mengambil keputusan untuk memontengkan persekolahan anak mereka pada hari Ahad.
“Minggu ini dan minggu ke empat terpaksa pontengkan anak sebab ada hal. Wakil rakyat dan pembangkang cuma berminat hal-hal yang mendatangkan keuntungan pada mereka sahaja,” kata pemilik akaun, Yatinor Abu Bakar.
Sementara itu, Izhan Burke Muhammad pula berkata beliau terpaksa mengorbankan cuti tanpa gaji kerana mahu meluangkan masa dengan anak-anak pada hari Jumaat supaya tidak menganggu waktu persekolahan mereka pada Ahad.
“Ini isu kecil bagi mereka. Sudah dua tahun berlalu, namun sehingga hari ini macam tiada apa-apa tindakan,” kata Ismail Amzah.
Sebelum ini, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar menitahkan pertukaran cuti hujung minggu di negeri itu kepada Jumaat dan Sabtu berkuatkuasa pada 1 Januari 2014.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan