Rayani Air henti operasi sementara serta merta
PETALING JAYA, Sabtu – Syarikat penerbangan patuh syariah pertama Malaysia, Rayani Air menghentikan operasinya buat sementara berkuat kuasa serta-merta, hari ini.
Pemilik penerbangan itu, Ravi Alagendrran berkata penggantungan itu akan berlanjutan sehingga tempoh yang akan dimaklumkan kemudian.
“Ingin dimaklumkan bahawa kita telah menggantung operasi berkuat kuasa serta-merta pada 8 April 2016 sehingga dimaklumkan kemudian.
“Ia adalah sebahagian daripada pelan penstrukturan semula syarikat. Kita akan beroperasi semula selepas melakukan penstrukturan semula,” katanya kepada Mstar Online.
Dalam masa yang sama Ravi berkata, pihaknya juga telah memaklumkan perkara ini kepada pegawai syarikat menerusi emel.
Berdasarkan emel itu, Ravi meminta pegawainya supaya mengarahkan bahagian masing-masing menghentikan operasi dan ‘mengira semula aset syarikat’.
“Semua bayaran balik dan pertanyaan berkaitan dengan penumpang yang telah ditempah awal, perlu dipanjangkan kepada info@rayaniair.com atau hubungi pusat panggilan di +603-27214925 (beroperasi setiap hari dari pukul 9 pagi sehingga 6 petang),” ujarnya.
Selain itu, Ravi turut mengesahkan bahawa Rayani Air terpaksa membatalkan penerbangannya berikutan mogok yang dilancarkan juruterbangnya sehingga menyebabkan beberapa penerbangan dibatalkan.
Dilaporkan tiga penerbangan dari Kuala Lumpur yang dijadualkan terbang ke Langkawi (RN182), Kota Kinabalu (RN130) dan Kuching (RN154) pada Jumaat telah dibatalkan, berdasarkan posting di media sosial yang dibuat penumpang yang tidak berpuas hati.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan