Ringgit susut setelah harga minyak jatuh, data pekerjaan AS kukuh

ringgit malaysia

KUALA LUMPUR, Isnin – Ringgit susut setelah harga minyak jatuh dan permintaan semakin kukuh bagi dolar Amerika berikutan data pekerjaan negara itu yang teguh.

Semasa ditutup, mata wang tempatan rendah pada 3.9020/9090 berbanding dolar AS daripada 3.8880/8950 yang dicatatkan Jumaat lepas.

Seorang peniaga berkata minat pelabur beralih kepada dolar AS selepas harga minyak mentah Brent turun 40 cent kepada US$38.27 setong, serta senarai gaji bukan ladang yang lebih baik daripada jangkaan, yang naik sebanyak 215,000 bulan lepas.

Bagaimanapun, peniaga itu masih yakin terhadap ringgit memandangkan pelabur percaya data tidak begitu kukuh untuk menukar pendirian Rizab Persekutuan berhubung dasar monetari.

Berbanding sekumpulan mata wang utama, mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya rendah kecuali pound, yang naik kepada 5.5381/5496 daripada 5.5692/5815 yang dicatatkan Jumaat lepas.

Ringgit turun berbanding dolar Singapura kepada 2.8848/8904 daripada 2.8826/8895, susut berbanding yen kepada 3.4967/5039 daripada 3.4603/4675 dan rendah berbanding euro kepada 4.4366/4457 daripada 4.4315/4411 pada Jumaat.- Bernama

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?