Semua agensi Mara diletak di bawah MaraCorp
KUALA LUMPUR, Isnin – Semua agensi dan anak syarikat Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan disatukan dan diletakkan di bawah satu entiti – MaraCorp -yang dijadikan anak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bernilai RM1.4 bilion.
Serentak itu, kerajaan tidak akan menyediakan dana tambahan kepada MaraCorp, sebaliknya semua aset yang ada akan disusun semula dengan cara yang lebih teratur.
Sebelum ini, anak syarikat Mara – Mara Incorporated – mencetuskan kontroversi apabila dilaporkan membeli bangunan apartment lima tingkat di Australia dengan harga A$22.5 juta sedangkan harga asalnya hanya A$17.8 juta.
Mengumumkan beberapa langkah pembaharuan terhadap anak syarikat Mara, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, Mara juga akan menyatukan pinjaman keusahawanan di bawah satu institusi yang baharu iaitu Rural Capital Bhd.
Berikutan kejayaan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Kementerian Pengajian Tinggi juga meluluskan pembukaan Universiti Mara.
“Bagi mereka di dalam universiti ini yang mendapat tempat di universiti terkemuka luar negara, Mara akan terus membiayai pelajaran mereka,” katanya pada sambutan ulang tahun ke-50 Mara, hari ini.
Yayasan Pelajaran Mara juga akan dijenamakan semula sebagai Yayasan Mara, katanya.
“Ia mempunyai dana sebanyak RM800 juta yang kini boleh digunakan untuk program bantuan lain seperti kebajikan, banjir dan bantuan kemarau – bukan hanya tertumpu kepada pendidikan,” katanya.
Najib berkata, Jalan Semarang dekat bersebelahan Menara Mara kini akan dikenali sebagai Jalan Mara.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan