Tugas sebagai ibu perlu diutamakan meskipun bekerja
Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
SHAH ALAM, Selasa – Tugas seseorang wanita sebagai seorang ibu menjadi keutamaan meskipun mempunyai pekerjaan di bidang profesional.
Setiausaha Majlis Penasihat Muslimat Hidayatullah Jakarta, Puan Kurnia Irawati Istadi berkata, adalah wajib bagi ibu untuk tetap mengutamakan tugas dalam keluarga terlebih dahulu sebelum melaksanakan tugas untuk umat.
“Walaupun setelah seseorang muslimah memilih untuk menjadi seorang guru, doktor, usahawan, arkitek dan lain-lain, mendidik anak untuk menjadi generasi emas bagi agama dan bangsa adalah yang utama.
“Seseorang ibu itu harus menyediakan waktu yang sesuai dengan bidang yang dipilihnya juga dengan tugasan di rumah,” katanya di Persidangan Wanita Islam Antarabangsa (Perwanis) 2016, di Hotel Grand Blue Wave, Shah Alam, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, untuk memastikan para ibu mampu melakukan dua tugasan dalam masa yang sama, maka mereka perlu meningkatkan potensi diri yang ada padanya.
“Seorang muslimah itu perlu cerdas, aktif dan profesional yang boleh menjadikan dia sebagai pengurus keluarga yang handal.
“Boleh jadi seseorang ibu itu memilih untuk meneruskan pelajarannya atau meningkatkan kemahiran dengan mengikuti kursus-kursus seperti kursus memasak, kursus bahasa asing, kursus komputer dan sebagainya. Kesemua ini adalah sebagai usaha bagi meningkatkan kemahiran di rumah bagi mendidik anak-anak,” katanya.
Katanya lagi, dengan perancangan bagi meningkatkan potensi diri ini, maka ia akan memudahkan pelaksaan pengurusan rumah.
“Kesan beberapa ilmu dan ketrampilan ini boleh menjadikan muslimah bukan sahaja seorang ibu, malah pengurus rumah tangga yang profesional dan baik,” katanya.
BERITA BERKAITAN:
Wanita perlu fokus didik anak ke arah pembangunan jati diri: Presiden Isma
Fahaman asing punca akidah umat Islam rosak: Ketua Wanita Isma
Sumber‘Baiti Jannati’ hancur disebabkan budaya beli belah di kalangan muslimah: Pembentang dari Indonesia
Ulasan
Catat Ulasan