Vaksin denggi syarikat Perancis tak sesuai di Malaysia
KUALA LUMPUR, Rabu – Vaksin penyakit denggi, Dengvaxia didapati lebih berkesan kepada dua serotype (jenis) denggi yang tidak dikesan kepada pesakit di negara ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, Dengvaxia yang dihasilkan syarikat farmaseutikal Perancis, Sanofi ini hanya sesuai dan memberi pertahanan kepada mereka yang berumur antara 9 dan 18 tahun.
“Sedangkan majoriti pesakit denggi di negara ini adalah berumur antara 25 dan 40 tahun.
“Dalam negara kita pada masa ini virus serotype yang menjadi punca ada dua. Salah satu masalah yang dihadapi oleh vaksin ini adalah perlindungan yang diberikan tidak sama rata kepada empat serotype denggi.
“Perlindungan yang diberikan kepada dua serotype yang ada di Malaysia adalah kurang berbanding dua serotype yang lain,” katanya seperti dilapor BNBBC.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negara, Senator Chandra Mohan S. Thambirajah pada sesi Dewan Negara di Parlimen, semalam berhubung penjualan vaksin berkenaan.
Bagaimanapun Dr Subramaniam berkata, kerajaan mungkin akan bekerjasama dengan syarikat berkenaan untuk membuat kajian lanjutan untuk membuat keputusan sama ada mahu menerima pakai vaksin berkenaan atau tidak.
“Bagaimanapun terdapat dua kelebihan di dalam vaksin tersebut iaitu dia akan mengurangkan kes-kes serius denggi dan yang kedua ia mampu mengurangkan jumlah mereka yang masuk ke hospital,” katanya.
Pada 20 April lalu, Dr Subramaniam memaklumkan bahawa keputusan sama ada Malaysia akan menggunakan vaksin Dengvaxia hanya akan diketahui pada Jun atau Julai ini.
Keputusan itu akan dimuktamadkan selepas Jawatankuasa Teknikal dan Saintifik yang ditubuhkan kementerian selesai mengkaji keberkesanan vaksin denggi berkenaan dan akan didaftar di bawah Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan