Wanita mesti utamakan rumah tangga berbanding kerjaya: Datuk Dr Azlina
Oleh Nurul Ashikin Abdul Halim
SHAH ALAM, Rabu – Seorang isteri wajib berada di rumah dan menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu berbanding menghabiskan masa dengan urusan kerja di luar.
Ketua Gerakan Pembangunan Ummah Muslimat, Datuk Dr Azlina Che Abdullah berkata, penyakit yang merebak pada hari ini adalah para isteri lebih gemar mementingkan urusan pekerjaan mereka berbanding tanggungjawab terhadap institusi rumah tangga.
“Para isteri dan ibu pada hari ini lebih mementingkan urusan kerja di luar dan melaksanakan tanggungjawab wajib mereka (di rumah) hanya secara biasa-biasa atau sekadar buat sahaja,” katanya kepada wartawan Ismaweb ketika ditemubual di sini, hari ini.
Beliau yang juga seorang usahawan kosmetik berjaya turut mengingatkan para isteri supaya lebih mementingkan tanggungjawab terhadap keluarga berbanding sibuk mengejar urusan dunia.
Mengulas mengenai kejayaannya sebagai seorang usahawan berjaya beliau berkata, kejayaannya yang sebenar bukanlah apabila beliau berjaya mendirikan syarikat sendiri, tetapi apabila beliau berjaya mendekatkan diri kepada Allah SWT.
“Saya tidak suka mengaitkan kejayaan saya yang dahulu kerana ia hanya membawa kepada dunia sahaja bukan akhirat.
“Kejayaan saya yang sebenar adalah apabila saya berjaya mendekatkan diri pada Allah SWT, mempelajari ilmu agama dan berjaya memperoleh jiwa yang tenang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Persidangan Wanita Muslim Antarabangsa (PERWANIS) 2016 anjuran Wanita Isma di Grand Bluewave hotel di sini.
Katanya, jiwa yang tenang melahirkan rasa cukup dalam semua aspek kehidupan malah menjadikan beliau lebih bersyukur dengan segala rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT kepadanya.
Pendakwah bebas ini turut memceritakan detik perubahannya yang bermula ketika perniagaan yang dikendalikannya mula diganggu.
“Ketika itu, hanya kepada Allah SWT sahaja saya mampu memohon pertolongan, saya minta Allah SWT menghantarkan seseorang yang mampu membantu saya.
“Alhamdulillah, Allah SWT menghantarkan seseorang yang bukan sahaja membantu saya mengukuhkan lagi perniagaan saya, malah menjadikan diri saya lebih dekat dengan-Nya,” jelasnya lagi.
Justeru, kata beliau, misinya kini adalah untuk membantu wanita-wanita bekerjaya di luar sana untuk lebih memahami Islam sekaligus sedar akan tanggungjawab wajib mereka sebagai isteri dan ibu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan