Guru pembina negara bangsa
Konsep negara bangsa yang didefinisikan dalam Perlembagaan 1957 menekankan sekurang-kurangnya tiga elemen utama yang dapat menjelaskan sifat dan ciri ‘bangsa Malaysia’ iaitu berkaitan dengan kewarganegaraan, taat setia yang tidak berbelah bagi kepada negara serta penguasaan terhadap Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Pembentukan negara bangsa di Malaysia telah dimulakan melalui perjuangan politik setelah British memperkenalkan prinsip kerakyatan “Jus Soli” menerusi gagasan Malayan Union yang menafikan hak kaum Melayu. Usaha pertama yang diketuai oleh Dr Burhanuddin al-Helmy dengan mengusulkan perlembagaan rakyat telah membawa kepada termeterainya Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948. Pembentukan perlembagaan ini menjadi asas kepada pembinaan negara bangsa dengan menjadikan bangsa Melayu sebagai tonggak utama pemerintahan dan penerapan adat dan budaya.
Proses penyatuan penduduk yang berbilang kaum dalam persekutuan Tanah Melayu menjadi tumpuan utama bagi menjamin kelangsungan kestabilan dan keharmonian negara. Justeru menerusi Laporan Razak yang dikeluarkan pada tahun 1956 yang berhasrat menyatukan kaum dalam negara, memberi penekanan kepada sistem pendidikan dan peperiksaan yang sama kepada pelajar sebagai satu pemangkin awal integrasi nasional. Laporan ini juga mencadangkan agar Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar di sekolah disamping menjaha perkembangan bahasa dan kebudayaan kaum lain.
Menerusi usaha penyatuan pendidikan ini, hubungan longgar masyarakat majmuk tinggalan penjajah dapat dirapatkan semula. Pelbagai program dan aktiviti sekolah yang melibatkan penyertaan semua kaum membolehkan pengagihan nilai dan budaya dikongsi secara tabii dan harmoni. Setelah 60 tahun negara ini mengecapi nikmat kemerdekaan, semua masyarakat sewajarnya menghormati hak keistimewaan orang Melayu, agama Islam serta peranan Bahasa Melayu sebagai asas pembentukan negara ini dan penyatuan semua kaum.
Ternyata semua tanggungjawab bagi membentuk negara bangsa dengan menerapkan semangat patriotisme dan perkongsian nilai ini terletak dibahu sorang guru. Maka seharusnya guru perlu berjiwa besar dengan merasakan bahawa tugas ini adalah tugas mulia yang diwarisi daripada para nabi. Guru juga sentiasa bersedia menghadapi cabaran yang semakin berat terutama serangan liberal dan pluralisme. Pelajar perlu dididik mempunyai jatidiri yang kuat, berpegang teguh kepada agama disamping mencintai negara dan saling menghormati antara sama lain.
Pembentukan negara bangsa dan bangsa Malaysia merupakan satu perjuangan yang masih belum selesai. Usaha ini memerlukan penglibatan semua pihak terutama sokongan daripada kerajaan. Sebarang suara daripada mana-mana pihak yang mengancam kedaulatan, keharmonian serta asas penubuhan negara ini perlu ditolak.
Nuraizam bin idris
SUA Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-GURU)
Ulasan
Catat Ulasan