Isu banglo Guan Eng bakal ‘panaskan’ sidang DUN Pulau Pinang
BUKIT MERTAJAM, Ahad – Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, isu rumah banglo Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dijangka akan ‘memanaskan’ sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan bermula 10 Mei ini.
Katanya, pada setiap sesi sidang DUN sebelum ini, kerajaan negeri yang diterajui DAP itu sering membangkitkan mengenai ketelusan, kecekapan serta akauntabiliti dalam tadbir urus negeri.
“Tetapi isu yang timbul kebelakangan ini menampakkan apa yang mereka ceritakan dalam DUN sebelum ini adalah satu sandiwara atau wayang semata-mata.
“Pada sidang dewan kali ini mereka (kerajaan negeri) akan hadapi kesukaran untuk melindungi pembohongan yang mereka hidangkan kepada rakyat Pulau Pinang sejak bertahun-tahun,” katanya selepas merasmikan Karnival Sukan UMNO Malaysia peringkat negeri di sini, hari ini.
Beliau memberitahu bahawa semua ADUN daripada Barisan Nasional (BN) telah bersiap sedia dengan fakta serta ulasan tentang pelbagai isu untuk dibahaskan nanti.
“Kita sudah buat pelbagai sesi taklimat, carian fakta dan mengkaji beberapa perkara secara mendalam dengan pertolongan pelbagai pihak, agensi serta pertubuhan yang memberi input supaya kita siap sedia dalam DUN,” katanya.
Selain isu kontroversi banglo Guan Eng, ancaman terhadap alam sekitar seperti cadangan tambakan laut, penggondolan bukit dan perkara berkaitan sosioekonomi akan turut dibangkitkan terutama mengenai penyediaan rumah mampu milik untuk rakyat.
Ulasan
Catat Ulasan