Menteri Pengangkutan boleh letak jawatan sekarang: Isma

Datuk Seri Liow Tiong Lai wajar tumpu kepada masalah pengangkutan, bukan sibuk ganggu urusan umat Islam

aero=tiongOleh RZ

BANGI, Ahad – Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, sewajarnya meletak jawatan sekarang berikutan kegagalan beliau menangani masalah pengangkutan awam yang berlaku negara ini, bukan menunggu sehingga pindaan akta Mahkamah Syariah diluluskan di Dewan Rakyat.

Ketua Penerangan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana, Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman, berkata masalah pengangkutan di negara ini masih membebankan rakyat dan perlu diberi tumpuan.

“Isu pengangkutan di negara ini masih gagal diselesaikan. Contohnya apa yang berlaku beberapa hari lalu apabila aerotrain ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tergendala sehingga menjejaskan ribuan penumpang yang hendak ke luar negara.

“Penumpang yang terkandas akibat masalah aerotrain itu ibarat kata dua kepada Tiong Lai sama ada menumpukan perhatian kepada kerjanya sebagai menteri bertanggungjawab dalam hal ehwal pengangkutan awam negara atau meletak jawatan. Menyibukkan diri dengan urusan umat Islam bukan pilihan ketiga,” katanya.

Ustaz Hazizi berkata demikian kepada ismaweb.net sebagai mengulas ugutan Presiden MCA itu untuk meletak jawatan daripada Kabinet jika Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 yang dibentangkan Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang diluluskan oleh Parlimen.

“Tiong Lai sememangnya harus segera meletakkan jawatan kerana gagal menyelesaikan masalah pengangkutan awam di negara ini. Beliau tidak perlu menunggu sehingga RUU hudud diluluskan,” katanya.

Semalam, Tiong Lai dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong mengugut akan meletakkan jawatan menteri yang dipegang sebagai tanda protes jika Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah itu diluluskan oleh Parlimen.

Kedua-duanya mendakwa pindaan akta itu bercanggah dengan Perlembagaan Negara.

Jumaat lalu, Abdul Hadi yang juga Presiden PAS membentang usul RUU Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat.

Ia bertujuan meminda Seksyen 2 bagi menggantikan peruntukan dalam undang-undang sedia ada iaitu Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas umat Islam dan dalam hal-hal kesalahan di dalam perkara yang disenaraikan di butiran 1 Senarai Negeri, mengikut jadual kesembilan Undang-Undang Persekutuan.

Ia juga bagi memasukkan Seksyen 2A iaitu dalam menjalankan undang-undang jenayah mengikut Seksyen 2, Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan mengikut seksyen yang disebutkan, selain hukuman mati.

BERITA BERKAITAN

RUU Hudud: Dua menteri ugut letak jawatan

KATA PEDANG: Resam DAP, MCA menentang pelaksanaan hukum Allah

Akta 355: Orang bukan Islam tak perlu masuk campur, selar Hadi

 

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?