Mukhriz saman Setiausaha Akhbar Najib
Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, Selasa – Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir hari ini telah menfailkan saman serta tuntutan ganti rugi terhadap Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad.
Saman itu difailkan di pejabat pendaftar sivil Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui firma Haniff Katri and Co.
Mukhriz dalam satu kenyataannya hari ini berkata, saman dibuat berikutan beberapa dakwaan yang disifatkan sebagai fitnah terhadap beliau serta bapanya Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Melalui empat kenyataan, Tengku Sariffuddin telah memberi gambaran seolah-olah saya adalah seorang yang gila kuasa, hanya mempunyai motif untuk menjadi Perdana Menteri tanpa sebarang pertimbangan terhadap kepentingan Rakyat.
“Sanggup bersubahat dengan Tun Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin semata-mata untuk menjatuhkan Kerajaan dan Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak daripada jawatan Perdana Menteri supaya saya sendiri boleh mengambilalih jawatan tersebut.
“…dan bahawa setiap tindakan politik saya termasuk dalam menawarkan diri bertanding dalam pemilihan UMNO adalah juga untuk tujuan menjadi Presiden UMNO yang dikatakan menjamin jawatan Perdana Menteri,” katanya.
Beliau bagaimanapun menafikan sekerasnya perkara itu termasuk dakwaan konspirasi dengan mana-mana pihak bagi menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak sebagai tujuan mengangkat Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, bersyarat Mukhriz dibimbing sebagai pengganti kemudiannya.
“Tuduhan liar Tengku Sariffuddin bahawa inilah niat sebenar Tun Mahathir juga tidak masuk akal kerana jika ianya benar, tentu sekali Tun Mahathir boleh terus melantik saya atau membantu dalam karier politik saya sewaktu beliau masih Presiden UMNO dan Perdana Menteri selama 22 tahun.
“Tidak munasabah beliau hanya mempunyai niat tersebut setelah bersara dari jawatan tertinggi parti dan negara selama 13 tahun,” katanya.
Beliau turut menyangkal tuduhan Tengku Sariffuddin berhubung penglibatannya bertanding jawatan Naib Presiden semata-mata mahu menjadi Presiden dan Perdana Menteri.
“Umum mudah memahami bahawa terdapat tiga jawatan Naib Presiden UMNO dan proses untuk naik sebagai Timbalan Presiden dan Presiden perlu melalui pemilihan parti terdahulu.
“… sekaligus menidakkan dakwaan bahawa kenaikan dari jawatan Naib Presiden kepada Presiden itu suatu proses yang mudah dan automatik,” katanya.
Mukhriz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam berkata, tuduhan Tengku Sariffuddin berhubung jawatan Presiden UMNO menjamin kedudukan sebagai Perdana Menteri menunjukkan pemahaman cetek beliau mengenai Perlembagaan Persekutuan negara.
“Hanya Ahli Parlimen yang menikmati sokongan terbanyak dalam Dewan Rakyat yang boleh diangkat sebagai Perdana Menteri.
“Tiada jaminan bahawa jawatan itu bersifat eksklusif kepada Presiden UMNO sahaja walaupun sehingga kini memang keenam-enam Perdana Menteri adalah juga Presiden UMNO.
“Jangan pula didakwa oleh beliau bahawa saya tidak ingin melihat seseorang Presiden UMNO terus menyandang jawatan Perdana Menteri,” katanya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan