Panama Papers didedah kepada umum 9 Mei
WASHINGTON, Ahad – Dokumen berharga – Panama Papers – yang mendedahkan kegiatan individu ternama termasuk anak kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan didedahkan kepada umum 9 Mei ini.
Konsortium Antarabangsa Wartawan Penyiasat (ICIJ) dalam satu kenyataan berkata, pangkalan data boleh dicari itu termasuk maklumat mengenai lebih 200,000 syarikat rahsia, dana amanah dan yayasan berpusat di 21 ‘syurga’ percukaian daripada Hong Kong sehingga ke Nevada di Amerika Syarikat.
Pendedahan ICIJ melalui 100 cawangan media mengenai Panama Papers ini telah menjadi satu skandal meluas di seluruh dunia.
Ini termasuk kes Datuk Mohd Nazifuddin Najib apabila dilaporkan terbabit dalam dua syarikat pesisir luar. Syarikat Nazifuddin ini dikatakan berdaftar oleh Mossack Fonseca di Kepulauan British Virgin.
Lebih kukuh apabila Nazifuddin di laman Facebooknya mengakui yang beliau memegang jawatan pengarah dalam dua syarikat yang berpangkalan di Kepulauan Virgin British (BVI) iaitu Jay Marriot International dan PCJ International Venture Limited.
Penglibatan Nazifuddin ini didedahkan dalam ‘Panama Papers’ sebagai pembocoran terbesar maklumat dalaman membabitkan urus niaga sulit di seluruh negara.
Selain itu ia juga melibatkan peletakan jawatan Perdana Menteri Iceland dan seorang menteri Sepanyol.
Kira-kira 11.5 juta dokumen bocor firma perundangan Panama, Mossack Fonseca, mendedahkan skala besar penggunaan entiti pesisir pantai bagi melindungi aset daripada pihak berkuasa cukai.
Dalam kenyataannya, ICIJ berkata, pendedahan umum bulan depan adalah langkah berikutnya dalam siasatan berterusan selama setahun dan ia akan terus menerbitkan lebih banyak berita dalam tempoh beberapa minggu dan bulan akan datang. –Agensi
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan