Peluang Sadiq Khan sandang jawatan Datuk Bandar London cerah
LONDON, Ahad – Ahli Parlimen dari Parti Buruh Britain, Sadiq Khan, seorang muslim mempunyai kemungkinan yang tinggi untuk memenangi pilihan raya Datuk Bandar di London.
Undian menunjukkan Sadiq Khan meraih sebanyak 20 peratus mata melebihi ahli Parti Konservatif, Zac Goldsmith dalam persaingan untuk menerajui salah satu pusat kewangan terkemuka di dunia.
Sekiranya menang, beliau akan menjadi Datuk Bandar beragama Islam yang mulim pertama mengetuai sebuah kota raya utama dunia di Barat.
Namun Goldsmith, dengan sokongan Perdana Menteri, David Cameron, sejak beberapa minggu ini sering mempertikaikan agama Sadiq Khan dan penampilan masa lalunya bersama penceramah radikal Islam serta menuduh beliau menyokong pelampau.
Bekas peguam hak asasi manusia Sadiq Khan berkata, beliau telah berjuang menentang ekstremisme sepanjang kehidupannya dan kesal berkongsi pentas dengan penceramah yang mempunyai pandangan ‘hina’.
Beliau mendakwa Goldsmith, anak golongan elit berpendidikan tinggi dan pembiaya jutawan itu, menggunakan taktik gaya Donald Trump iaitu ingin membahagikan London mengikut garisan kepercayaan atau agama masing-masing.
Kedua-dua calon datuk bandar itu juga mempunyai pendirian bertentangan berhubung salah satu keputusan strategik yang paling penting buat Britain iaitu sama ada untuk kekal sebagai ahli Kesatuan Eropah di mana Goldsmith mahu meninggalkannya dan Sadiq Khan mahu kekal.
Pilihan Raya Datuk Bandar London 2016 akan diadakan pada 5 Mei ini serentak dengan pilihan raya Dewan Undangan London.
Ia akan menjadi pilihan raya yang kelima bagi pemilihan jawatan Datuk Bandar, yang diwujudkan pada tahun 2000 selepas referendum di London. – Agensi
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan