Persatuan Operator Bas Johor minta kerajaan terus salur dana ISBSF

bas jb

JOHOR BAHARU, Isnin – Persatuan Operator Bas Johor (JBOA) meminta kerajaan pusat meneruskan penyaluran Dana Sokongan Sementara Bas Henti-Henti (ISBSF) bagi membolehkan perkhidmatan bas terbabit dapat diteruskan di negeri ini.

Presidennya, Jotisrop Suchdav berkata sebanyak 16 syarikat bas henti-henti di negeri ini terpaksa menanggung kerugian memandangkan tidak mendapat dana terbabit daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sejak empat bulan lepas.

“Kami berasa bimbang kerana kali terakhir menerima dana tersebut adalah pada 31 Dis tahun lepas dan selepas itu, kami terpaksa menggunakan duit simpanan untuk mengendalikan operasi bas masing-masing.

“Sekiranya kami tidak mendapat dana itu, perkhidmatan bas terpaksa dihentikan kerana kami sudah tidak mempunyai sumber kewangan lain selain turut berhadapan dengan masalah membayar kenaikan gaji pekerja yang bakal dilaksanakan 1 Julai ini,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Suchdav berkata pihaknya tidak mahu mengikut jejak langkah beberapa syarikat bas di Kelantan, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan yang telah menghentikan perkhidmatan bas henti-henti kerana tidak mampu menanggung kos operasi berikutan tidak lagi menerima sokongan dana daripada kerajaan.

Beliau berkata, setakat ini, sebanyak 600 buah bas henti-henti dikendalikan oleh 16 syarikat di negeri ini melibatkan 50 laluan utama.

Katanya, kebiasaannya, syarikat tersebut akan menerima dana sebanyak RM10,000 hingga RM30,000 setiap bulan mengikut kos pengendalian masing-masing.

Menurut Suchdav, sejak 2008, syarikat bas henti-henti berkenaan tidak pernah menaikkan kadar tambang bas.

Katanya, sekiranya operasi bas henti-henti tersebut ditamatkan, sebanyak 3,000 orang pemandu bas akan kehilangan kerja manakala kira-kira 100,000 pengguna bas sehari di seluruh negeri ini dan Singapura akan terjejas. – Bernama

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?