Ketuanan Syarak Dalam Sebuah Negara Islam

 

Baru-baru ini timbul semula isu istilah negara Islam, apabila ada pihak yang mengetengahkan idea bahawa kategori negara Islam atau bukan negara Islam tidak lagi relevan. Mereka mengatakan bahawa yang penting bukan nama dan bentuk, sebaliknya yang perlu diberi perhatian ialah makna, isi dan amalan. “Subtance over form”, bak kata mereka.

Jika dibaca keseluruhan isu ini sejak ia ditimbulkan pasca Arab Spring, boleh disimpulkan bahawa makna, isi dan amalan yang mereka maksudkan hanya berlegar di sekitar “good governance”, ketelusan, kebebasan, keadilan, kesamarataan (tanpa mengira faktor agama), kemajuan ekonomi, kebersihan dan seumpamanya.

Berdasarkan “subtance” beginilah, idea mereka terlajak sehingga mengatakan bahawa negara-negara seperti New Zealand dan Ireland lebih Islamik berbanding negara umat Islam seperti Malaysia, mahupun wilayah Acheh yang melaksanakan undang-undang syariah.

Saya berasa amat terpanggil untuk menyanggah sesuatu yang bukan Islam, tetapi disifatkan sebagai Islam. Lebih-lebih lagi apabila mereka mengalaskan idea songsang ini dengan istilah Maqasid Syariah.

Mereka yang berdendang dengan istilah Maqasid Syariah, tidakkah mereka faham bahawa sebelum bercakap tentang Maqasid Syariah hendaklah mereka memahami dan menepati Maqasid Alfaz (maksud lafaz syarak) terlebih dahulu?

Bagaimanakah boleh dipanggil dan disifatkan sesuatu itu sebagai Islamik jika dicabut, dikeluarkan, dibuang dan dinyahkan sesuatu yang sifatnya paksi, asas, teras, dasar dan prinsip bagi Islam iaitu tauhid?

Tidakkah mereka faham bahawa memahami maksud lafaz syarak itu merupakan pengetahuan tentang sempadan (hudud) syarak; mengetahui maksud lafaz syarak (Allah Taala) dengan memasukkan segala makna yang termasuk di dalam makna kalimah Islam dan mengeluarkan segala makna yang bukan daripada makna Islam?

Tauhid adalah paksi, asas, teras, prinsip dan dasar yang terkandung dalam lafaz Islam, bagaimana boleh dibiarkan ia terkeluar daripada kalimah “Islamik” sehingga negara Ireland dan New Zealand boleh disebut lebih Islamik berbanding negara Malaysia dan seumpamanya?

Jika mereka mengkhianati ilmu Maqasid Alfaz, bagaimana boleh dipercayai sesuatu yang mereka angkat sebagai Maqasid Syariah, sedangkan Maqasid Alfaz adalah ilmu asas sebelum bercakap tentang Maqasid Syariah?

Berhati-hatilah terhadap puak-puak yang mahu melencongkan isi agama dengan menggunakan istilah Maqasid Syarak. Mereka kata mahu mengutamakan isi, bukan bentuk, tetapi jelas sekali isi yang mereka persembahkan itu bukan isi Islam.

Malah tingkatkan lagi kewaspadaan kita terhadap Ulil Amri (umara dan ulama) yang membisu seribu bahasa terhadap serangan demi serangan terhadap kefahaman Islam ini, bahkan ada di antara yang mengusung ke sana ke mari tokoh-tokoh luar negara untuk bercakap tentang perkara yang salah dan mengelirukan ini.

Inilah perang persepsi namanya. Peluru persepsi yang dilancarkan untuk membunuh jiwa-jiwa umat Islam yang lemah dan berasa lemah, serta mengalah sebelum berjuang. Jiwa-jiwa yang akalnya tidak disuburkan dengan pengetahuan Islam yang kuat dan sebaliknya sentiasa disuburkan dengan persepsi negatif terhadap Islam bersumberkan media dan institusi yang memusuhi Islam.

Bahkan propaganda musuh Islam ini mudah sahaja ditelan oleh para pemimpin parti dan organisasi bukan kerajaan yang mendakwa atau didakwa sebagai Islamik. Jika itu keadaan pemimpin, sudah tentu anak-anak muda para pengikut lebih menyedihkan.

Perkara yang paling pasti hasil daripada bacaan terhadap idea-idea yang asasnya bersifat rawak ini ialah tiada dijumpai aspek ketuanan syarak atau penegakan al-Hakimiyah Lillah diangkat sebagai faktor asas dalam membincangkan soal kenegaraan menurut perspektif Islam.

Adakah kerana aspek ketuanan syarak itu difahami sebagai konsep yang menyamai negara teokratik, yang menyaksikan kezaliman di kemuncaknya dalam sejarah negara-negara Barat? Atau adakah kerana tidak mahu kehilangan sokongan masyarakat bukan Islam? Atau sememangnya mereka tidak benar-benar faham apa itu ketuanan syarak?

Saya tidak berminat untuk menganalisis dan mencari jawapan bagi soalan-soalan di atas. Semua orang ada alasan masing-masing.

Saya lebih suka menyatakan dan menegaskan bahawa ketuanan syarak adalah noktah paksi, intipati, isi, hikmah, maqasid, kebaikan, kemaslahatan yang terbesar, paling utama, paling asas, paling dominan apabila kita membincangkan bab politik dalam Islam, sama ada dalam konteks yang umum yang dikenali sebagai siyasah syariyah mahupun dalam konteks yang lebih khusus dalam bab Imamah.

Ketuanan syarak yang saya maksudkan ialah merujuk kepada istilah al-Hakimiyah Lillah ( الحاكمية لله ) atau Siyadah Syarak ( سيادة الشرع ) yang membawa erti bahawa kehendak Allah S.W.T. adalah hukum dan kata pemutus tertinggi. Tiada satu kuasa yang lebih tinggi atau menyamai ketinggian kehendak syarak. Sebarang keputusan dan undang-undang yang bertentangan dengan kehendak syarak maka ia terbatal dengan sendirinya. Tiada qias untuk sesuatu yang mempunyai nas. Maslahat yang bertentangan dengan syarak adalah tidak dikira pakai. Tiada syura kecuali dalam perkara yang diharuskan dan diizinkan oleh syarak, yang medannya terlalu luas.

Di peringkat individu, ketuanan syarak adalah perkara yang terlalu asas. Itulah intipati akidah tauhid. Tidak Islam seseorang kecuali dia mempertuankan syarak, dalam erti kata iktikad bahawa sumber hukum dan kata putus tertinggi adalah milik Allah. Anda mahu dalil? Jawapannya ialah dengan menganalisis ratusan ayat al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W., ketuanan syarak merupakan paksi bagi mesej keseluruhan al-Quran dan Sunnah. Segalanya itu dirangkumkan dalam dua kalimah saja; kalimah syahadah.

Jika anda mahu dalil “juzie” (yang menyentuh secara spesifik) juga, silakan teliti maksud ayat-ayat berikut:

  • “Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.” (Surah al-Ahzab ayat 36)
  • “Sebenarnya hukum hanyalah milik Allah. Ia memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan Dia. Yang demikian itulah agama yang betul, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Surah Yusuf ayat 40)
  • “Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan daripada apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” (Surah an-Nisa’ ayat 65)

Terdapat banyak lagi ayat dan hadith yang menyentuh secara langsung dan spesifik, tetapi saya rasa cukuplah sekadar contoh-contoh itu memandangkan ruangan yang terbatas dan topik ketuanan syarak ini yang juga disebut sebagai al-Hakimiyah Lillah sememangnya bersifat “musallamat” dan “badihiyat” (perkara yang terlalu asas dan diterima oleh semua; tiada khilaf padanya) di kalangan orang beriman. Bahkan, seperti yang telah saya sentuh sedikit di atas, perkara ini adalah intipati maksud dan tuntutan dua kalimah syahadah.

Noktah yang paling penting ialah aspek ketuanan syarak ini mempunyai implikasi hukum yang langsung dan ketara ke atas topik-topik kenegaraan, kewarganegaraan, jihad, tahaluf dan lain-lain topik yang berkaitan. Itu sebabnya saya berasa amat hairan apabila terdapat kalangan yang membicarakan tentang topik-topik tersebut tetapi mencuaikan aspek ketuanan syarak yang terlalu fundamental sifatnya.

*****

Sebelum saya melanjutkan bicara, ingin saya peringatkan bahawa jika anda seorang yang berpegang pada kepercayaan bahawa agama adalah soal peribadi, dalam ruang lingkup kehidupan individu sahaja, tiada peranan dalam ruang awam, sama seperti fahaman liberal dan sekular, maka perbincangan selanjutnya tidak relevan dengan anda.

Ini kerana yang penting bagi anda ialah kerajaan yang telus, jujur, adil, menjamin kebebasan individu, demokratik dan seumpamanya sahaja. Ia tiada kaitan dengan soal agama, kepercayaan dan keimanan. Isu ketuanan syarak di peringkat negara tidak timbul langsung. Cukup berada di hati masing-masing sahaja. Malah mungkin anda akan beranggapan topik ketuanan syarak di peringkat negara adalah keterlaluan; agama sudah melampaui batasnya. Itu cara fikir liberal dan sekular.

Cara fikir ini berpunca daripada dua sumber:

  • Pengaruh sejarah pahit Eropah di zaman gelap mereka, ketika negara berada di bawah cengkaman kuku besi raja yang memerintah bagi pihak tuhan dan gereja yang bersuara bagi pihak tuhan, berdasarkan dakwaan dua golongan itu. Maka apabila disebut keberadaan hukum Islam atau undang-undang syariah dalam ruang awam, mereka yang dipengaruhi tasawur atau worldview berlatar belakang sejarah pahit itu serta merta akan menolak sambil memperkemaskan ikatan kepercayaan mereka bahawa agama mesti dibataskan dalam ruang hidup individu semata-mata. Sudah tentu tasawur ini bukan berasal daripada tasawur Islam dan berasaskan kepada sejarah bukan Islam.
  • Tasawur dan kepercayaan bahawa kewujudan pemerintahan, kenegaraan, kerajaan dan sebagainya ini hanyalah semata-mata isu pentadbiran sesebuah masyarakat, sama sahaja antara Islam dan kufur dalam isu ini. Logiknya sama seperti pentadbiran urusan lalu lintas. Ketika manusia hanya menaiki unta dan kuda di padang pasir yang luas, tidak perlu adanya peraturan lalu lintas seperti lampu isyarat dan sebagainya. Tetapi apabila kenderaan semakin banyak dan canggih maka banyak peraturan yang perlu diadakan dan ditadbir oleh sebuah kerajaan yang cekap, adil, telus dan sebagainya. Pendek kata, urusan pentadbiran negara dianggap sebagai urusan dunia, wujud secara tabii akibat perkembangan aktiviti manusia, malah diambil hadith Rasulullah S.A.W. yang bermaksud, “Kamu lebih tahu tentang urusan dunia kamu” sebagai hujah sokongan kepada pegangan sedia ada. Ingin saya tegaskan, kewujudan kerajaan dan pemerintahan menurut perspektif Islam adalah berasaskan tuntutan syarak, bukan semata-mata tuntutan tabii perkembangan aktiviti manusia. Huraiannya menyusul.

 

Ustaz Hj Mohd Hazizi Ab Rahman

Ketua Penerangan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma)

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian