Ahmad Yakob tolak jawatan Mursyidul Am PAS
KOTA BHARU, Rabu – Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob menolak jawatan Mursyidul Am PAS bagi menggantikan Allahyarham Datuk Dr. Haron Din.
Ahmad berkata, keputusan itu dibuat kerana beliau ingin memberi laluan kepada pemimpin lain dilantik sebagai Mursyidul Am parti itu.
Dalam masa yang sama, beliau menyatakan hasrat untuk terus kekal sebagai Timbalan Mursyidul Am PAS.
“Bagi saya, biarlah saya kekal sebagai Timbalan Mursyidul Am sahaja kerana ramai lagi ahli Majlis Syura Ulama yang layak menggantikan Allahyarham.
“Saya banyak tugasan lain selain perlu menjaga Kelantan. Bagaimanapun keputusan akan dibuat menerusi mesyuarat parti itu yang akan diadakan nanti,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di sini hari ini.
Sebelum ini, Setiausaha Agung parti itu, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Ahmad Yakob berkemungkinan dilantik sebagai Mursyidul Am PAS.
Beliau berkata, pelantikan itu adalah berdasarkan amalan yang berlaku sebelum ini sejak Majlis Syura Ulama dan jawatan tersebut diwujudkan.
Bagaimanapun, Takiyuddin berkata, tokoh yang akan dilantik memegang jawatan itu akan diputuskan melalui mesyuarat Majlis Syura Ulama dan mendapat persetujuan daripada 15 anggotanya termasuk Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
The post Ahmad Yakob tolak jawatan Mursyidul Am PAS appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan