Mahkamah lanjut tempoh tangguh roboh Ampang Park
KUALA LUMPUR, Khamis – Mahkamah Tinggi di sini semalam melanjutkan sehingga 20 Oktober ini perintah penangguhan sementara kerja perobohan Ampang Park bagi projek pembinaan Mass Rapid Transit (MRT) Stesen Ampang Park, yang diperoleh 39 pemilik strata pusat beli-belah itu
Hakim Datuk Hanipah Farikullah akan mendengar merit permohonan bagi mendapatkan perintah penangguhan sebenar projek berkenaan pada tarikh berkenaan.
Pada 16 Ogos lalu, Hanipah mengeluarkan perintah penangguhan sementara selain perintah supaya pentadbir tanah tidak boleh mengeluarkan Borang K iaitu borang pengambilan tanah sehingga semalam.
Dengan perintah itu juga Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dan pentadbir tanah tidak boleh mengambil pusat beli-belah itu dan merobohkannya sehingga pendengaran kes kedua-dua pihak untuk menangguhkan pelaksanaan pengambilan tanah didengar.
8 Januari lalu, 39 peniaga berkenaan memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman menamakan Kementerian Wilayah Persekutuan, Kerajaan Malaysia, Pengarah Tanah dan Galian dan Pentadbir Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai responden sebelum menggugurkan kementerian dan kerajaan daripada senarai.
Pemohon memohon perisytiharan Borang D bertarikh 17 Ogos 2015 dan Borang E bertarikh 22 Oktober 2015 Akta Pengambilan Tanah 1960 yang dikeluarkan oleh pihak responden adalah tidak berperlembagaan, menyalahi undang-undang, batal dan tidak sah.
Ampang Park dibina pada 1972 dan dibuka kepada orang ramai pada 15 Mac 1973, menjadikannya kompleks beli-belah pertama di Malaysia dengan keseluruhan 250 lot premis yang menjual pelbagai jenis barangan keperluan dan kehendak selain perkhidmatan untuk warga kota.
Stesen MRT Ampang Park dikatakan bakal menjadi stesen yang penting bagi MRT Jajaran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (Jajaran SSP) kerana ia satu-satunya stesen yang membolehkan penumpang membuat pertukaran dari Sistem MRT ke Sistem LRT Kelana Jaya.
The post Mahkamah lanjut tempoh tangguh roboh Ampang Park appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan