Bila RUU 355 bakal dibahas? Tanya kerajaan, kata pegawai hal ehwal Parlimen PAS

syed-parlimen-pas

BANGI, 17 Muharram 1438H, Selasa – “Adakah kami orang Islam sendiri tidak ada hak untuk beramal dengan agama kami yang menjadi agama Persekutuan Malaysia?”

Persoalan ini dilontarkan Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen PAS, Syed Ahmad Fadhli ketika mengulas usul meminda Akta Mahkamah Syariah (Akta 355) yang sebelum ini tersenarai pada giliran nombor empat Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, tetapi hari ini diubah kedudukannya kepada nombor tujuh.

Beliau berkata, persoalan bilakah RUU 355 yang dibentangkan Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan dibahas, sepatutnya dijawab oleh pihak kerajaan kerana kuasa ada di tangan eksekutif, sebagaimana yang pernah dilakukan pada sidang Dewan Rakyat, Mei lalu.

“Adakah ianya boleh berlaku? Ya, boleh. Cuba kita ingat kembali sejarah pembentangan usul ini kali pertamanya pada 26 Mei 2016 yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said pada sidang Mei lalu menggunakan Peraturan Mesyuarat 14(2), mencadangkan usul Abdul Hadi yang ketika itu berada pada nombor 15 didahulukan selepas Rang Undang-undang Hak Milik Strata (Pindaan) 2016 di nombor satu pada hari itu.

Syed Ahmad berkata, usul Abdul Hadi berada pada giliran terakhir hari itu, tetapi ia dapat didahulukan kerana Azalina menggunakan Peraturan Mesyuarat 14(2) yang menyebut:

“Majlis Mesyuarat dengan dikeluarkan usul (oleh seorang Menteri) yang akan diputuskan dengan tidak boleh dipinda atau dibahas, dan yang tidak berkehendak dikeluarkan pemberitahu terlebih dahulu boleh pada bila-bila masa memutuskan hendak menjalankan mana-mana urusan dengan tidak mengikut aturan yang telah ditetapkan. Usul ini hendaklah didahulukan daripada urusan-urusan lain.”

Katanya, sidang Dewan Rakyat kali ini adalah selama 25 hari bermula semalam hingga 24 November ini dan Jumaat ini, Perdana Menteri akan membentangkan Bajet 2017.

“Bermula Isnin depan sehingga 22 November 2016 adalah tempoh perbahasan bajet bagi peringkat dasar dan jawatankuasa. Bolehlah kita fahami di sini, kemungkinan RUU 355 ini boleh dibentangkan sama ada hari yang berbaki sebelum pembentangan Bajet 2017 atau pada penghujung sidang nanti,” katanya.

The post Bila RUU 355 bakal dibahas? Tanya kerajaan, kata pegawai hal ehwal Parlimen PAS appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?