Ahli politik, polis dan pegawai kerajaan antara tertinggi amal rasuah
Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
KUALA LUMPUR, 12 Safar 1438H, Sabtu – Presiden Association of Certified Fraud Examiners (ACFE), Datuk Akhbar Satar berkata, parti politik mengungguli carta sebagai antara beberapa institusi dalam negara ini yang terbabit dengan rasuah.
“Kita buat kajian pada tahun 2014, institusi mana yang paling tinggi rasuahnya. Pertama, parti politik, kedua, polis dan ketiga, pegawai kerajaan.
“Dapat kita lihat, ia bermula dari pihak atasan sampai ke pihak bawahan, jika orang atasan pun buat benda tak baik, macam mana orang bawah tak ikut?
“Malah, sekarang pelabur pun takut nak masuk melabur di Malaysia, mereka lebih memilih Indonesia atau Thailand sebab negara-negara ini kalau ambil rasuah, ‘makan’ sorang. Kalau Malaysia, daripada bawah sampai ke atas ‘makan’,” katanya dalam Forum Pengguna VI anjuran Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang diadakan di Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC, hari ini.
Masalah ini, katanya, perlu diperbaiki bukan sahaja dengan adanya agensi pencegah rasuah yang berintegriti, tetapi juga dengan wujudnya Peguam Negara yang memiliki pendirian.
“Indonesia paling baik dalam dunia agensi pencegah rasuahnya. Dia ada peguam negara yang kuat. Kita perlukan itu.
“Kita tak boleh harapkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sahaja kerana mereka tiada kuasa mendakwa. Peguam Negara perlulah mencontohi peribadi sebegitu barulah kita boleh kurangkan ketirisan rasuah ini,” katanya.
The post Ahli politik, polis dan pegawai kerajaan antara tertinggi amal rasuah appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan