Aktiviti pengambilan pekerja dalam talian susut 12 peratus
KUALA LUMPUR, 29 Safar 1438H, Selasa – Aktiviti pengambilan pekerja dalam talian pelbagai industri di seluruh Malaysia susut sebanyak 12 peratus pada Oktober berbanding bulan yang sama tahun lalu.
Bagaimanapun, industri pengeluaran dan pembuatan, automotif serta sampingan, tidak mencatatkan penurunan dengan pertumbuhan mendatar antara Oktober 2015 dan Oktober 2016.
Menurut Monster Employment Index (MEI) oleh Monster.com, sektor runcit terus menunjukkan pertumbuhan lebih perlahan bagi pengambilan pekerja dalam talian. Ia mencatatkan pengurangan sebanyak 23 peratus dalam perbandingan tahun ke tahun bagi aktiviti pengambilan dalam talian pada Oktober.
Pengarah Urusan Monster.com bagi Asia Pasifik dan Asia Barat, Sanjay Modi berkata aktiviti pengambilan kekal lembap kerana syarikat masih berhati-hati dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu disebabkan oleh faktor-faktor luaran.
“Syarikat-syarikat lain turut berhati-hati terhadap belanjawan mereka, membuang pekerja, memotong gaji dan mengurangkan kos. Namun, kerajaan berusaha untuk mendapatkan lebih banyak pelaburan langsung asing, yang akan mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan.
Indeks itu juga mendedahkan bahawa pengambilan dalam talian bagi sektor peruncitan meningkat tiga peratus berbanding penurunan 26 peratus yang dicatatkan antara September 2015 dan 2016.
Sektor ini diikuti oleh industri hospitaliti, yang mencatatkan penurunan 21 peratus bagi perbandingan tahun ke tahun.
Bagi pekerjaan khusus di Malaysia, bakat pembangunan perniagaan dan jualan terus menyaksikan permintaan kukuh pada 20 peratus bagi perbandingan tahun ke tahun.
Profesional perkhidmatan pelanggan sebaliknya, menunjukkan prestasi yang paling teruk bagi pengambilan pekerja dalam talian pada Oktober, setelah mengalami penurunan tahunan sebanyak 55 peratus daripada 49 peratus yang dicatatkan pada September. – Bernama
The post Aktiviti pengambilan pekerja dalam talian susut 12 peratus appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan