Bahaya bukan pakar ulas Maqasid Syar’iyyah, kata Mufti Terengganu
Oleh Athirah Huda Zalhe
PUTRAJAYA, 12 Safar 1438H, Sabtu – Maqasid Syariah adalah tajuk perbincangan yang cukup bahaya jika diulas oleh pihak yang tidak berwibawa, tegas Mufti Terengganu, Datuk Dr Zulkifly Muda.
Ini kerana, katanya, ia adalah satu gagasan pemikiran manusia yang lahir dan melihat kepada kecantikan Islam, dan ia diterjemahkan, dibincang serta dirumus sebagai Maqasid Syariah.
“Namun, ia kekal bersumberkan kepada syariah, al-Quran dan Sunnah…… para ulama mengatakan bahawa ianya tidak lari daripada beberapa kaedah Usul Fiqh.
“Ia sebahagian daripada gagasan pemikiran yang asal berteraskan al-Quran dan Sunnah tetapi, dalam masa yang sama, terdapat golongan yang ingin memerdekakan akal iaitu terlalu menggunakan pemikiran tanpa melihat nas dan ingin mengorbankan peranan nas yang ada dalam al-Quran dan Sunnah.
“Lalu mengatakan bahawa ia adalah peluang untuk mereka bercakap tentang apa sahaja isu agama, walaupun perkara itu bercanggah dengan Islam, menggunakan akal mereka sendiri,” katanya dalam ucaptama Muzakarah Ulama MUIS di sini, hari ini.
Mengulas pelaksanaan Maqasid Syar’iyyah mengikut konteks di Malaysia, Dr Zulkifly mengakui berlaku porak-peranda berhubung pentadbiran Islam dan pemerintah.
Namun, katanya, beliau sendiri tidak dapat melihat jelas sikap kerajaan terhadap pelaksanaan Islam di Malaysia.
“Tetapi imej Islam banyak tercalar apabila umat Islam dikatakan telah mundur dalam semua bidang, termasuk ekonomi, pendidikan dan politik, apabila keadaan politik semasa di negara ini dilihat berpecah-belah.
“Dari segi teori, Malaysia adalah negara Islam kerana ada peruntukan yang disebutkan dalam Perlembagaan. Tetapi dari segi pelaksanaan dalam bentuk sistem, kita ada kemajuan terutama sektor ekonomi, seperti perbankan Islam dan sebagainya, namun masih kekurangan dari sudut lain,” katanya.
Katanya, beliau mengharapkan imej Maqasid Syariah yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu menepati dengan maksud sebenarnya.
“Sebenarnya kita melihat perubahan kepimpinan, masing-masing membawa imej Islam. Sebagaimana zaman pentadbiran Tun Dr Mahathir dahulu, beliau membawa imej menerusi penerapan nilai-nilai Islam, manakala Tun Abdullah Ahmad Badawi pula memperkenalkan Islam Hadhari.
“Maka, Datuk Seri Najib juga tidak ketinggalan untuk sama memberi penekanan terhadap perkembangan Islam itu sendiri, lalu dibawa pendekatan Maqasid Syar’iyyah sebagai asas.
“Jadi, kita doakan supaya apa yang sering disebutkan beliau itu menepati Maqasid Syar’iyyah yang sebenar,” katanya.
The post Bahaya bukan pakar ulas Maqasid Syar’iyyah, kata Mufti Terengganu appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan