Bersatu kecam tindakan polis tangkap pemimpin Bersih
BANGI, 19 Safar 1438H, Sabtu – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengecam tindakan polis menahan beberapa aktivis Bersih 5, pemimpin pembangkang dan mahasiswa berikutan pembabitan mereka dalam perhimpunan, hari ini.
Sehubungan itu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan pihak berkuasa dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya mematuhi Perlembagaan Persekutuan yang memberi hak kepada rakyat untuk berhimpun secara aman.
Katanya, penangkapan itu adalah satu bentuk ancaman dan gangguan terhadap penganjur dan orang ramai yang menyertai perhimpunan itu.
“Saya juga ingin mengingatkan Najib Razak bahawa Akta Perhimpunan Aman 2012 adalah diperkenalkan oleh kerajaan pimpinan beliau sendiri sebagai sebahagian daripada Program Transformasi Politik.
“Akta ini bertujuan memberikan kebebasan kepada rakyat untuk berhimpun dan bersuara selaras dengan prinsip demokrasi. Saya menggesa Najib Razak supaya tidak sekali-kali melupakan janji-janjinya itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, menurut Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan, setiap rakyat mempunyai hak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata.
“Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) mengingatkan pihak berkuasa supaya menghormati Perlembagaan Persekutuan yang memberikan hak kepada rakyat untuk berhimpun secara aman.
“Pengerusi SUHAKAM, YBhg Tan Sri Razali Ismail, dalam satu kenyataan semalam menegaskan bahawa di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012, rakyat mempunyai hak untuk berhimpun secara aman dan tindakan mana-mana pihak yang menghalang rakyat daripada menghadiri sebarang perhimpunan aman adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Malah, pihak polis adalah bertanggungjawab untuk memastikan perhimpunan tersebut berlangsung secara aman dan tanpa gangguan,” katanya.
The post Bersatu kecam tindakan polis tangkap pemimpin Bersih appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan