Bimbang AS tarik diri, Malaysia bincang dengan negara anggota TPPA
KUALA LUMPUR, 9 Safar 1438H, Rabu – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Malaysia sedang berbincang dengan negara anggota dalam Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) susulan kemenangan Donald Trump dalam Pilihan Raya Amerika Syarikat (AS).
Ini kerana, katanya, terdapat kemungkinan AS menarik diri daripada perjanjian itu kerana Trump sepanjang kempen pilihan raya sebelum ini kerap kali membangkitkan retorik antiperjanjian itu dan mendakwa ia menjejaskan ekonomi negara berkenaan.
Namun begitu, Mustapa berkata, sebarang andaian pada ketika ini masih terlalu awal kerana Trump boleh berubah fikiran apabila secara rasmi memasuki Rumah Putih sebagai Presiden AS pada 20 Januari tahun depan.
Tidak menafikan pembatalan TPPA berkemungkinan memberi kesan kepada ekonomi negara, beliau bagaimanapun berkata, sebarang andaian masih terlalu awal dan analisis perlu dibuat secara tenang.
“Banyak kenyataan dibuat ketika kempen, ada sesetengahnya menakutkan tapi ada yang berpandangan ia hanyalah retorik untuk memancing undi.
“Sememangnya akan ada perubahan kerana Trump bertanding untuk mengubah dasar, namun ia tidaklah secara radikal seperti yang disangka,” katanya.
The post Bimbang AS tarik diri, Malaysia bincang dengan negara anggota TPPA appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan