Bincang saman kes DOj di luar, bukan di Parlimen, kata Rahman Dahlan
BANGI, 9 Safar 1438H, Rabu – Larangan bercakap mengenai tindakan sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) terhadap syarikat pelaburan kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB), hanya di Parlimen sahaja.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, sesiapa sahaja boleh bercakap mengenai dua isu itu di luar Parlimen, malah tiada sebarang undang-undang yang boleh menyekatnya.
“Sudah tentu anda boleh bercakap mengenainya di luar Parlimen. Silakan, kami selalu mendengarnya,” katanya seperti dilapor The Star, hari ini.
Bagaimanapun Abdul Rahman berkata, di Parlimen mempunyai undang-undang tertentu yang perlu dihormati dan dipatuhi.
“Apabila Speaker (Tan Sri Pandikar Amin Mulia) berkata ia sub judice, maka hormatilah.
“Namun, ia tidak bermaksud anda tidak boleh bercakap mengenainya di tempat lain,” katanya.
Malah, beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Belud itu berkata, perkara itu sentiasa diperkatakan oleh beberapa tokoh terkemuka seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal.
Mengulas kenyataan Dr Mahathir semalam berhubung Pandikar menyebelahi kerajaan, Abdul Rahman berkata, Speaker hanya menjalankan tugasnya.
“Beliau di sana untuk memastikan perbahasan berlaku secara adil dan mengikut protokol.
“Apabila anda tidak gentleman, membuat bising dan melanggar Peraturan Mesyuarat, kemudian mereka akan berurusan dengan anda, ia semudah itu,” katanya.
The post Bincang saman kes DOj di luar, bukan di Parlimen, kata Rahman Dahlan appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan