CUEPACS minta kerajaan kaji semula mekanisma kawalan harga barang

datuk-azih-muda-cuepacs-transformed

JASIN, 14 Safar 1438H, Isnin – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan supaya mengkaji semula mekanisma pengawalan harga barang supaya tidak membebankan rakyat termasuk penjawat awam.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata penjawat awam juga seperti rakyat di negara ini amat merasai impak akibat kenaikan harga barang sejak akhir-akhir ini dan kerajaan diharap dapat bertindak supaya ia tidak menjadi beban yang berterusan.

“Kesannya amat dirasai berikutan kenaikan harga bahan api dan minyak masak menyebabkan harga dalam rantaian yang lain termasuk pakaian sekolah turut naik, ada sehingga lebih 10 peratus.

“Harga makanan pun naik, malah air teh tarik yang tidak ada kena mengena pun naik, ini yang amat meresahkan penjawat awam sama seperti rakyat lain di negara ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan penubuhan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (Anulae) Kawasan Jasin di Dewan Alamanda Jasin di sini yang turut dihadiri Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin Shadan Othman.

Azih yang juga Presiden Anulae Kebangsaan berkata kenaikan harga barang turut menyebabkan penjawat awam perlu berbelanja lebih yang seterusnya menyebabkan mereka tidak dapat menabung.

“Maknanya tiada simpanan bagi pekerja yang berpendapatan rendah, boleh anda bayangkan bagaimana pula dengan belanja pendidikan dan sistem kekeluargaan yang lain, apa lagi hendak beli rumah sedangkan tanggungan lain pun agak sukar,” katanya.

Menurut Azih, dalam menghadapi kenaikan harga barang, rakyat dinasihatkan agar berbelanja dengan bijak dan membuat perbandingan harga serta memastikan mendapat maklumat yang tepat dengan mengetahui kedudukan harga sesuatu barangan sebelum membelinya.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan disaran melaksanakan aktiviti riadah seperti senaman selain ceramah oleh ketua masing-masing berkaitan tugas dan tanggungjawab sebagai peringatan supaya tidak leka dalam usaha memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“Sekurang-kurangnya satu jam seminggu dalam tempoh waktu bekerja diperuntukan mengikut kesesuaian organisasi masing-masing bagi meningkatkan lagi kadar produktiviti anggota perkhidmatan awam di negara ini,” katanya. – Bernama

The post CUEPACS minta kerajaan kaji semula mekanisma kawalan harga barang appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?